KEDA SERTAI PROGRAM JIWA KOMUNITI PARLIMEN KUALA KEDAH
Alor Setar – Program JIWA Komuniti Madani peringkat Parlimen Kuala Kedah telah diadakan di pekarangan Muzium Kuala Kedah, turut disertai oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam berkongsi matlamat yang sama iaitu menyampaikan maklumat dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.
KEDA mengadakan pameran dalam program tersebut, menyebarkan maklumat mengenai program bantuan yang ditawarkan, cara permohonan dan peluang pengajian TVET di Kolej KEDA. Malah petugas reruai KEDA telah berjaya membantu beberapa pemohon yang berkelayakan untuk melengkapkan permohonan secara dalam talian menggunakan Sistem Permohonan Bantuan KEDA yang dibangunkan secara dalaman sepenuhnya.
Program berkenaan telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Haji Hakim Ariff bin Md Noor, Pegawai Daerah Kota Setar dan turut dihadiri oleh Tuan Asmirul Anuar bin Aris, Pengerusi MADA Corp serta Puan Siti Nor Salwa binti Abdul Razak, Pegawai Penerangan Daerah Kota Setar dan pimpinan masyarakat setempat. YBhg. Dato’ Haji Hakim Ariff turut meluangkan masa melawat lori pameran KEDA dan mendengar taklimat ringkas mengenai sistem permohonan bantuan secara dalam talian yang digunakan KEDA.
Masyarakat sekitar dan orang ramai yang hadir telah disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan sukaneka, pameran jabatan dan agensi, pertunjukan khas anjing pengesan oleh pasukan Polis DiRaja Malaysia, jualan barangan keperluan asas dengan harga lebih murah dan aktiviti menderma darah dikendalikan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ternyata Program JIWA Komuniti Madani ini amat berkesan dalam menghimpunkan komuniti setempat untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai program kerajaan serta berpeluang mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan secara langsung.