ADKM PERKASA PENGURUSAN DESA KEDA

ADKM PERKASA PENGURUSAN DESA KEDA

ALOR SETAR – Anugerah Desa KEDA Madani (ADKM) yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Bahagian Pembangunan Komuniti diyakini mampu memperkasakan desa KEDA ke arah pembudayaan desa sejahtera yang cemerlang.
Pengerusi (KEDA), YBhg. Mejer Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom berkata, pertandingan ADKM ini bukannya mencari johan sementara yang hanya cemerlang tahun bertanding sahaja, tetapi ianya satu bentuk latihan memperkasa desa KEDA.
“Antara kawasan yang menjadi titik fokus pembangunan KEDA adalah pembangunan Desa KEDA itu sendiri. Pembangunan ini pula bukan hanya menjurus kepada pembangunan fizikal semata-mata. Tiada guna bangunan megah atau cantik sekiranya tiada kejayaan dapat ditempa penduduknya sama ada dari segi attitud, pendidikan mahupun ekonomi.
“Oleh kerana ini kita anjurkan penganugerahan ini. Dengan matlamat untuk mempertingkatkan kesedaran dan amalan kepimpinan yang unggul dan permuafakatan peserta Desa KEDA disamping menjaga kesihatan serta kebersihan persekitaran serta membentuk desa KEDA yang bersatu padu, indah dan tersusun, Anugerah Desa KEDA Madani ini dijadikan platform realisasinya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Penyampaian Anugerah Desa KEDA Madani di Dewan Elissa Garden, Titi Gajah, Alor Setar.
Jelas beliau, inilah bentuk penilaian prestasi dan pencapaian desa KEDA yang telah KEDA pantau dan asuh selama ini, selain ianya sebagai pengiktirafan dan galakan kepada pemimpin desa atas kejayaan yang dicapai, ini juga adalah salah satu bentuk khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada barisan kepimpinan bagi melahirkan kampung yang mapan dan dinamik.
ADKM mempunyai 8 kriteria penilaian anugerah yang bermula dari kepimpinan hinggalah kepada pembangunan belia.
“Penilaian holistik meliputi prasarana, sosial serta ekonomi ini boleh menjadi bimbingan sempurna dalam mendepani dunia globalisasi hari ini,” katanya.
Seramai 250 orang tetamu hadir yang terdiri daripada Jawatankuasa Perancang Pelaksana Program (4P) dan kakitangan KEDA sendiri.
Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar yang juga merupakan Ketua Panel bagi ADKM tahun 2024 ini.