NATIONAL SYMPOSIUM ON RURAL PLANNING AND DEVELOPMENT 2024
PUTRAJAYA – Simposium Perancangan dan Pembangunan Desa Peringkat Kebangsaan 2024 telah berjaya dianjurkan dengan tema “Economic Diversity, Resilient Future: Growing Rural Prosperity”.
Program ini berlangsung di Dewan Damar Sari, Blok F8, Kompleks F, Putrajaya dan melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Simposium tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi.
Program ini sebagai platform perkongsian amalan baik perancangan dan pembangunan desa oleh pelbagai agensi dalam dan luar negara.
Acara ini turut menampilkan dua sesi forum utama bertemakan “Sorotan dan Hala Tuju Perancangan dan Pembangunan Desa” dan “Desa Masa Depan: Perspektif dan Visi”. Forum-forum ini melibatkan penyertaan lapan panel pakar dari dalam dan luar negara, termasuk wakil dari Belanda, Bangladesh, Indonesia, Filipina, Thailand, dan Pakistan.
Panel-panel ini membincangkan isu-isu penting yang berkaitan dengan perancangan dan pembangunan desa serta berkongsi amalan terbaik dari negara masing-masing.
Simposium ini berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,000 peserta tempatan serta delegasi dari Centre Integrated Rural Development for Asia and the Pacific (CIRDAP).
Selain itu, beberapa kedutaan dari negara-negara seperti Indonesia, Filipina, Myanmar, Laos, Iran, Pakistan, Bangladesh, Fiji, Belanda, Sri Lanka, dan Nepal turut hadir bagi memeriahkan lagi simposium ini.
Sebanyak 10 pameran dari pelbagai agensi dan jabatan peringkat Persekutuan dan Negeri turut diadakan bagi memaparkan inisiatif dan projek pembangunan desa yang sedang dan bakal dijalankan.
KEDA turut diwakili oleh Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Puan Hajah Afifah binti Haji Omar bersama beberapa pegawai lain termasuk Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohd Isa, serta Pengurus Perancangan, Pemantauan dan Penilaian, Cik Shuhaila binti Hamzah.
Simposium ini diharap dapat menjadi platform untuk meningkatkan lagi kerjasama antara pelbagai pihak dalam usaha memajukan perancangan dan pembangunan desa di Malaysia.