PROGRAM JIWA KOMUNITI MADANI DUN TANJUNG DAWAI MERIAHKAN MASYARAKAT SETEMPAT
MERBOK – Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Komuniti Persekutuan (JPKKP) Sungai Pial, dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Kuala Muda telah berjaya menganjurkan Program Jiwa Komuniti Madani Peringkat DUN Tanjung Dawai di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Pial, Merbok di sini.
Program ini turut mendapat sokongan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang hadir membuka reruai pameran untuk memperkenalkan pelbagai perkhidmatan kepada penduduk setempat.
Reruai KEDA antara yang mendapat perhatian pengunjung bagi mengetahui bantuan-bantuan usahawan yang disediakan dan cara untuk memohon.
Program yang berlangsung dengan penuh meriah ini turut melibatkan pelbagai agensi lain iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menganjurkan jualan murah yang menarik minat ramai, manakala Program Penjagaan Kesihatan B40 (PEKA B40) menyediakan perkhidmatan kesihatan percuma kepada penduduk.
Selain itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuka kaunter untuk pembukaan akaun SSPN, sementara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula menawarkan perkhidmatan pengemaskinian data akaun pelanggan.
Program ini telah dirasmikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Kuala Muda, Puan Juliana binti Ibrahim, dan turut dihadiri oleh beberapa pemimpin tempatan dari DUN Tanjung Dawai serta lebih daripada 200 orang penduduk kampung.
Majlis ini juga diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk gimik pelancaran Bulan Kemerdekaan, acara sukaneka, pertandingan basikal tercantik, dan cabutan bertuah yang menambah keceriaan suasana.
Penganjuran program seperti ini diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara agensi dengan masyarakat, selain memastikan perkhidmatan terbaik dapat disampaikan kepada golongan sasaran.
Program ini juga menjadi platform untuk mendekati dan memahami keperluan penduduk setempat, seterusnya membina komuniti yang lebih padu dan harmoni.