LAWATAN KERJA KOPERDA KE KOPERASI PEGAWAI-PEGAWAI KEDA

LAWATAN KERJA KOPERDA KE KOPERASI PEGAWAI-PEGAWAI KEDA

Alor Setar – Koperasi Pegawai-Pegawai KEDA Berhad (KPPK) menerima lawatan daripada Koperasi PERDA Berhad (KOPERDA) yang diadakan di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, di sini.
Lawatan ini telah dihadiri oleh Anggota Lembaga Koperasi (ALK) kedua-dua belah pihak.
Lawatan kerja ini bertujuan untuk berkongsi informasi dan pandangan, menjalin kerjasama strategik dan merapatkan ukhuwah antara anggota lembaga kedua-dua koperasi.
Delegasi KOPERDA yang diketuai sendiri oleh Pengerusinya, Encik Mohd. Afhainizam bin Mahamad Yusop, bersama 16 orang ahli delegasi.
Mereka telah disambut mesra oleh Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA merangkap Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai KEDA Berhad (KPPK).
Sepanjang sesi perbincangan yang diadakan, kedua-dua koperasi saling membentang dan berkongsi pengalaman mengenai aktiviti perniagaan koperasi masing-masing.
Antara topik yang menjadi perhatian perbincangan adalah perkhidmatan kredit atau pembiayaan yang ditawarkan oleh koperasi kepada anggota.
Turut dibincangkan adalah keperluan tadbir urus koperasi yang baik dan kerjasama koperasi dengan pelbagai pihak seperti Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa).
Encik Khairul Azmeer berkata bahawa beliau amat berbesar hati dan berterima kasih, menerima lawatan KOPERDA dan bersedia berkongsi ilmu dan pengalaman KPPK dalam usaha membangunkan koperasi serta manfaat yang dibuka kepada anggota. Beliau turut mengalu-alukan kerjasama perniagaan yang boleh diteroka antara kedua-dua koperasi.
Sesi lawatan kerja dan perbincangan antara kedua-dua koperasi dilihat sangat produktif dan mampu mengeratkan kerjasama yang terjalin agar kedua-duanya terus cemerlang membawa nama agensi masing-masing iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).