LAWATAN JAKPAW DAN ANGGOTA SUKARELA REJ 513 (AW) KE SURVIVAL VILLAGE 19 RAMD (MEK)
SUNGAI PETANI – Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi telah menghadiri lawatan oleh Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Kedah dan anggota sukarela Rej 513 (AW) bertempat di Survival Village 19 RAMD (Mek).
Ketibaan delegasi dan tetamu telah disambut oleh Ketua Kompeni Markas, Mejar Mohamad Zakaria Hifzan bin Hisahuddin serta warga Penggempur Harimau Besi.
Seramai 20 ahli JAKPAW dan 50 pegawai serta anggota sukarela telah terlibat dalam lawatan yang julung kali diadakan ini.
Lawatan di Survival Village pasukan telah dimulakan dengan aktiviti pengenalan kepada jenis-jenis halangan, perangkap haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang sering didapati di dalam hutan.
Aktiviti diteruskan dengan demonstrasi simpulan dan ikatan serta teknik menghidupkan api dengan menggunakan Habuk Mudim. Para jemputan juga diberi pendedahan berkenaan cara mendirikan hammock, basha dan pondok yang dijadikan tempat tidur anggota di dalam hutan ketika beroperasi.
Lawatan diteruskan dengan aktiviti Joyride KP GEMPITA di sekitar kawasan kem yang sekaligus memberi peluang kepada para jemputan merasai pengalaman menaiki aset kebanggaan pasukan.
Sebagai penutup lawatan, ahli JAKPAW dihidangkan makan tengahari yang berkonsepkan makanan eksotik yang bertepatan dengan survival mode.
Turut hadir, Timbalan Komander Rej 513 (AW), Lt Kol Kamarulrazaimi bin Abd Razak dan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB Encik Zubir bin Ahmad.