KEDA BANTU RINGANKAN BEBAN PELAJAR MENGHIDAP KANSER TAHAP 4
KUALA NERANG – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) meneruskan komitmen dalam menyampaikan perkhidmatannya kepada rakyat.
Terbaru, KEDA telah menyerahkan sumbangan kutipan derma oleh warga kerjanya termasuk penduduk desa KEDA kepada Wan Fahimah Binti Wan Mohamad Othman, 27 tahun, pelajar Ijazah Sarjana Muda al-Quran dan Pengajian Qiraat, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) yang menderita penyakit kanser payu dara tahap 4.
Kutipan telah dibuat melalui Tabung Sumbangan Kasih KEDA yang telah dilancarkan sempena Majlis Pelepasan Konvoi Semarak Kasih Merdeka KEDA Tahun 2024 di Kompleks Ibu Pejabat KEDA. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah, Encik Stien Van Lutam.
Tabung ini telah diedarkan ke desa-desa KEDA semasa konvoi siri pertama dan kedua serta mendapat sambutan bak dari penduduk desa yang turut menderma. Sumbangan dari KEDA ini telah disampaikan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom. Turut hadir adalah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dan Dekan Kulliyah Usuluddin, Sains Al-Quran dan Bahasa Arab, YBhg. Ustaz Dr Mohamad Hazli bin Ismail.
Dato’ Seri Jamil Khir ketika ditemui menyatakan rasa simpati terhadap kajadian yang menimpa dan berdoa agar keluara ini sentiasa kuat dalam menghadapi dugaan.
“Mewakili pihak KEDA, kami bersimpati dengan kejadian yang menimpa. Keluarga ini menetap di dalam kawasan operasi KEDA dan kami memang optimis untuk membantu mana termampu.
Sebagai contoh, pada tahun 2023, sebelum adik Wan Fatimah didiagnos penyakit tersebut, ibunya, Puan Rodhiah binti Safie telah menerima menerima geran bantuan ekonomi KEDA melalui Program Peningkatan Pendapatan (PPP) bagi bisnes jualan kuih muihnya.
InsyaAllah, buat masa ini KEDA telah memberikan komitmen dalam proses untuk membantu membaik pulih rumah kepada keluarga ini melibatkan kos sebanyak RM 15,000. Kos ini meliputi pembaikan bumbung rumah dan bilik air. Projek baik pulih ini dijangka akan dapat disempurnakan pada awal November.
Semoga dengan sumbangan ini, dapat meringankan beban keluarga dan kesakitan yang dialami oleh adik Wan Fatimah.”, ujar beliau.
Pada Januari 2024, Wan Fahimah, anak kedua dari 8 beradik ini tular di media sosial apabila telah disahkan menghidap penyakit kanser payu dara tahap 4. Beliau terpaksa menangguhkan pengajian bagi menjalani rawatan kimoterapi dan pada masa yang sama mengambil kerja separuh masa sebagai tukang cuci di Pantai Merdeka, Sungai Petani.