NABI SEBAGAI IKON YANG PERLU KITA KENAL DAN SAYANG
Padang Terap – Walau disulami curahan hujan, tidak menghalang pelaksanaan Majlis Ceramah Perdana Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Desa-Desa KEDA Zon 2 Padang Terap yang berlangsung di Desa KEDA Bendang Tok Teri, Naka.
Kehadiran Ustaz Zul Ramli bin Mohamad Razali sebagai penceramah utama terus menarik minat pelbagai golongan masyarakat termasuk golongan remaja untuk hadir dan sama-sama menimba ilmu. Beliau dalam ceramahnya menegaskan bahawa sememangnya Baginda Nabi Muhammad Rasulullah SAW adalah ikon kehidupan, bukan sahaja untuk umat Islam malah untuk manusia sejagat.
Perkara asas dalam usaha meletakkan Baginda sebagai ikon adalah kenal dan sayang pada Baginda. Beliau turut menjelaskan dua lagi perkara untuk menjadikan Baginda sebagai panduan dalam kehidupan, adalah sentiasa berselawat dan mengamalkan sunah serta perlunya kita merendahkan diri mengharapkan syafaat daripada Baginda di alam akhirat kelak.
Hadir menyempurnakan majlis adalah YBhg. Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti KEMAS Negeri Kedah. Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Hajah Afifah binti Haji Omar, Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Padang Terap, Encik Jasnizam bin Husni.
Sambutan Maulidur Rasul dan pelbagai sambutan hari kebesaran Islam yang lain, sering diadakan di setiap Desa KEDA dalam usaha menyemarakkan pembangunan modal. Usaha berterusan ini mampu memberi kefahaman berkaitan Islam dalam kalangan penduduk dan turut memupuk semangat untuk menjayakan program.