PROGRAM KONVOI SEMARAK KASIH HARI MALAYSIA 2024 MERAIKAN KOMUNITI DESA KEDA
ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah berjaya menganjurkan Program Konvoi Semarak Kasih Hari Malaysia pada 8 dan 9 September 2024 yang melibatkan penyertaan seramai 67 orang kakitangan KEDA melalui KEDA Bikers dan penunggang jemputan luar.
Konvoi ini diadakan bagi meraikan sambutan Hari Malaysia bersama komuniti di desa-desa KEDA di beberapa daerah di Kedah.
Konvoi ini memulakan perjalanan dari Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar, dengan majlis pelepasan konvoi disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom.
Turut serta dalam konvoi ini ialah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff yang juga merupakan ketuan konvoi bermotosikal ini.
Objektif program ini dianjurkan adalah untuk mengeratkan hubungan antara warga kerja KEDA dengan komuniti desa dalam meraikan semangat perpaduan sempena Hari Malaysia.
Lebih menarik, sesi santunan ini dianjur dengan cara berbeza iaitu melalui konvoi bermotosikal.
Konvoi kali ini adalah siri kedua selepas kejayaan Konvoi Semarak Kasih Merdeka yang diadakan pada 25 & 26 Oktober 2024 baru-baru ini.
Beberapa Desa KEDA yang terlibat sebagai check point konvoi ini termasuklah Desa KEDA Wang, Kubang Pasu, Desa KEDA Semeliang, Padang Terap, Desa KEDA Sungai Semiar, Sik, dan Desa KEDA Ulu Bakai, Baling. Kesemua desa yang terpilih merupakan wakil pejabat zon masing-masing bagi Anugerah Desa KEDA Madani Tahun 2024.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan di setiap destinasi konvoi bagi memeriahkan sambutan, antaranya penyerahan bendera kepada kepimpinan desa, penyampaian sumbangan bakul makanan kepada golongan memerlukan dan hebahan bergerak lagu patriotik oleh Jabatan Penerangan.
Lebih menarik untuk siri kedua ini, Pejabat KEDA Zon 4, Sik telah menganjurkan Malam Santai Jiwa Merdeka yang mengetengahkan persembahan patriotik dari pelbagai bentuk genre.
Mereka telah menyediakan aktiviti memanah, kenduri rakyat, cabutan bertuah serta persembahan kumpulan gendang silat, deklamasi sajak, buskers dan lagu patriotik oleh pempengaruh terkenal, Cikgu Meera.
Selain itu, kedua-dua siri ini mendapat kerjasama baik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah melalui penglibatan sebagai peserta dan penyediaan pasukan kawalan keselamatan konvoi.
Selain itu, sumbangan ikhlas turut diberikan kepada seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim (UniSHAMS) yang menghidap penyakit kanser di Kampung Kepala Batas, Pedu, Kuala Nerang yang tular di media sosial.
Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom, dalam ucapannya berkata, program ini bukan sahaja meraikan sambutan Hari Malaysia, tetapi juga menyatukan komuniti dan memperkukuhkan hubungan antara KEDA dan masyarakat desa dan semoga usaha seperti ini dapat menjadi inspirasi untuk perpaduan dan kesejahteraan rakyat di masa hadapan.
“Harga keamanan dan perpaduan ini adalah terlalu mahal dan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Bagi sesiapa yang cuba memporakperandakan perpaduan maka merekalah yang sebenarnya menghancurkan keamanan”, ujar beliau
Konvoi Semarak Kasih ini merupakan sebahagian daripada inisiatif KEDA untuk terus komited dalam pembangunan sosial dan ekonomi luar bandar, serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti.