PENDUDUK DESA KEDA WANG SAMBUT BAIK PROGRAM SEMARAK HARI MALAYSIA 2024
KUBANG PASU – Program Semarak Hari Malaysia 2024 bertemakan “Malaysia Madani Jiwa Merdeka” yang berlangsung baru-baru ini di Desa KEDA Wang mendapat sambutan meriah daripada penduduk kampung.
Penduduk kampung beramai-ramai turun padang dan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan, termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan bola jaring, pertandingan rumah ceria kemerdekaan, serta penyerahan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan.
Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom dan Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, yang turut memeriahkan acara dan beramah mesra dengan penduduk setempat.
Lebih menarik, seramai 67 peserta konvoi bermotosikal yang terdiri daripada kakitangan KEDA turut serta dalam program tersebut. Ketibaan mereka disambut dengan sorakan penduduk tempatan yang sedang menyaksikan peringkat akhir aktiviti-aktiviti yang diadakan.
Program Semarak Hari Malaysia ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara warga kerja KEDA dengan komuniti Desa KEDA Wang, selain menyemarakkan semangat perpaduan dalam menyambut Hari Malaysia.