DESA KEDA SEMELIANG, CHECK POINT KEDUA PESERTA KONVOI SEMARAK KASIH HARI MALAYSIA 2024
PADANG TERAP – Desa KEDA Semeliang, Padang Terap dipilih sebagai lokasi check point kedua dalam Program Konvoi Semarak Kasih Hari Malaysia 2024 bertemakan Malaysia Madani Jiwa Merdeka.
Check point pertama ialah Desa KEDA Wang, sebelum konvoi meneruskan perjalanan ke Desa KEDA Semeliang.
Program ini diadakan bagi meraikan semangat perpaduan dan patriotisme melalui pelbagai aktiviti bersama penduduk kampung.
Antara aktiviti yang berlangsung termasuk penyerahan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan, sesi penyerahan bendera Malaysia kepada komuniti setempat, dan jamuan makan bersama penduduk kampung.
Penduduk Desa KEDA Semeliang menyambut baik kehadiran 67 peserta konvoi yang menaiki motosikal sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Kehadiran mereka disambut meriah oleh penduduk yang gembira melihat semangat kemerdekaan yang dibawa oleh peserta konvoi.
Serentak dengan sambutan program konvoi ini juga, telah diadakan majlis pelancaran Pasukan Bomba Komuniti Desa-Desa KEDA Zon 2 Padang Terap. Pelancaran ini disempurnakan oleh YBhg. Tuan Azhar bin Mohamad, Penguasa Kanan Bomba 2, Ketua Cawangan Bahagian Keselamatan dan Kebakaran Zon 1 Kota Setar. Turut hadir adalah Tuan Aminuddin bin Mad Khozali, Ketua Balai Bomba Kuala Nerang.
Semangat Hari Malaysia jelas terpancar sepanjang program ini, dengan para peserta menunjukkan komitmen dan semangat patriotik yang tinggi bagi memperkukuh hubungan antara masyarakat luar bandar dan peserta konvoi.