MALAM SANTAI JIWA MERDEKA DI ZON 4, SIK BERLANGSUNG MERIAH
SIK – Walaupun dengan cuaca hujan di awal program, ianya tidak mematahkan semangat dan minat 300 orang penduduk Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sungai Semiar dan sekitar untuk memeriahkan Malam Santai Jiwa Merdeka anjuran Pejabat KEDA Zon 4, Sik, di sini.
Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Pengurus Besar KEDA, YBhg Tuan Ismasuhaimi bin Shariff yang hadir bersama-sama 67 penunggang motosikal KEDA Bikers dan jemputan luar yang terlibat dalam Konvoi Semarak Kasih Hari Malaysia KEDA Tahun 2024.
Malam Santai Jiwa Merdeka ini membawa kelainan dari segi bentuk sambutan merdeka dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti deklamasi sajak, penyerahan bendera kepada Pasukan Perancang Pelaksana Program (4P), serahan bantuan bakul makanan dan persembahan nynayian dari pemperanguh terkenal iaitu Cikgu Meera bersama pasukan buskersnya.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg Mejar Jeneral (B), Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom. Selain Pengurus Besar KEDA, antara tetamu yang turut hadir adalah Pengerusi KEDA Resort and Holidays Sendirian Berhad, Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim, Timbalan Pengurus Besar Operasi KEDA Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar.
Turut hadir mewakili kerajaan negeri adalah Encik Mohd Fazaidi bin Saidin, Penghulu Mukim Jeneri dan Encik Mohd Yusof bin A. Rasid, Penghulu Mukim Teloi
Paling mencuri tumpuan apabila tiba sesi persembahan oleh 3 orang penduduk terawal yang tinggal di Desa KEDA Sungai Semiar termasuk Pengerusi 4P, Ismail bin Osman yang mengadakan persembahan nyanyian lagu klasik lama yang asyik dan mempersonakan.
Turut dianjurkan sesi perkongsian pembukaan Desa KEDA Sungai Semiar oleh penduduk awal bersama pengacara, Encik Mohd Zaiem bin Johari dari Pejabat KEDA Zon 4, Sik.
Semua desa KEDA yang berada dalam daerah Sik ini turut membuka booth makanan yang boleh diambil percuma oleh penonton dengan pelbagai juadah seperti cucur jawa, nasi berlauk, apam balik, air balang dan sebagainya.