USAHAWAN KEDA SIK TIMBA ILMU DI MAHA 2024
SERDANG – Seramai 40 orang usahawan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Sik yang sebahagian besarnya terlibat dalam Projek Bersepadu Pembangunan Kampung (PROSPEK) Teloi, termasuk kepimpinan Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) serta kakitangan Pejabat KEDA Zon 4, Sik, telah menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.
Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para usahawan menimba ilmu dalam bidang pertanian dan ekonomi, sekali gus meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam mengusahakan perniagaan berkaitan.
Dengan pendedahan yang diberikan, para peserta dijangka dapat mengaplikasikan teknologi dan inovasi terkini bagi meningkatkan produktiviti mereka, selaras dengan matlamat pembangunan ekonomi luar bandar yang diusahakan oleh KEDA.
Dalam masa yang sama, penyertaan kepimpinan 4P diharap dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk menerapkan idea-idea baru bagi kemajuan kampung-kampung di bawah PROSPEK Teloi.
Penyertaan ini adalah hasil usaha Bahagian Perancangan, Pemantauan dan Penilaian (BPPP) KEDA dan Pejabat KEDA Zon, 4 yang komited dalam memberi peluang kepada para usahawan untuk berkembang dan berjaya dalam sektor agro pelancongan dan pertanian.
Semoga ilmu yang diperoleh mampu meningkatkan produktiviti dan memberi impak positif kepada komuniti kampung.








