BENGKEL KOPERASI BERSAMA PEGAWAI PELAKSANA DAN PENYELIA KOPERASI DESA-DESA KEDA TAHUN 2024

BENGKEL KOPERASI BERSAMA PEGAWAI PELAKSANA DAN PENYELIA KOPERASI DESA-DESA KEDA TAHUN 2024

KUALA MUDA – Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menganjurkan Bengkel Koperasi Bersama Pegawai Pelaksana dan Penyelia Koperasi Desa-Desa KEDA Tahun 2024, bertempat di The Jerai Hotel, Sungai Petani, baru-baru ini.
Bengkel ini melibatkan penyertaan seramai 60 orang, terdiri daripada Pegawai Pelaksana dan Penyelia Koperasi Desa-Desa KEDA.
Bengkel ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang pengurusan asas koperasi, menyelesaikan masalah yang sering timbul dalam koperasi, serta membuka peluang untuk menggerakkan koperasi secara lebih efektif di kalangan masyarakat luar bandar.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, yang turut menekankan kepentingan koperasi dalam membangunkan ekonomi komuniti desa.
Program dimulakan pada jam 9 pagi dengan sesi pertama bertajuk “Pengurusan Asas Koperasi”, yang disampaikan oleh Pengarah Zon Utara Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Puan Yusnita binti Othman. Beliau memberi penerangan mendalam mengenai asas pengurusan koperasi yang berkesan.
Sesi kedua pula menyaksikan Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar, berkongsi pandangannya mengenai usaha libat urus yang lebih komprehensif untuk pembangunan koperasi di Desa KEDA, dengan menekankan peranan aktif setiap anggota dalam memastikan kelestarian koperasi.
Setelah rehat dan makan tengah hari, sesi terakhir menampilkan ceramah motivasi oleh Encik Azki Hafizi bin Ibrahim, Jurulatih Utama Smart Triple IQ Sdn. Bhd., yang memberikan suntikan semangat kepada para peserta dalam menggerakkan koperasi dengan lebih berdaya maju.
Program ini diharap dapat memberi manfaat kepada semua peserta dalam memajukan koperasi di kawasan desa, sejajar dengan objektif KEDA untuk memperkasa komuniti luar bandar.