KURSUS PENGURUSAN JENAZAH SIRI 1 TAHUN 2024
ALOR SETAR – Pengurusan jenazah adalah fardu kifayah dan wajib dipelajari dan diketahui oleh semua umat islam. Perkara ini tidak hanya perlu diketahui oleh imam-imam, tetapi ianya adalah ilmu yang wajib dipelajari oleh semua.
Justeru itu, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Jawatankuasa Pengurusan Surau An-Nur KEDA telah mengadakan Kursus Pengurusan Jenazah Siri 1 Tahun 2024 di Surau An-Nur, Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar baru-baru ini.
Program ini diadakan adalah bertujuan untuk melatih dan memberi kefahaman secara terperinci kepada kakitangan KEDA tentang cara pengurusan jenazah yang betul apabila berlaku kematian.
Program ini disertai 30 kakitangan lelaki KEDA dan semua peserta yang terlibat berpeluang menambah ilmu pengetahuan dengan mengajukan soalan-soalan berkaitan pengurusan jenazah dan lain-lain hal yang berkaitan program.
Antara pengisian program ini termasuklah penerangan teori pengurusan jenazah, latihan praktikal pengurusan jenazah dan sesi soal jawab.
Kursus ini dimulakan dengan sesi ceramah dan diteruskan sesi praktikal berkaitan kewajipan orang hidup kepada orang mati meliputi mandi, kafan dan solat jenazah yang disampaikan oleh Penceramah jemputan iaitu Pesara Jabatan Penjara Malaysia, Ustaz Sarbani bin Saad.
Selain itu, mempelajari cara pengurusan jenazah merupakan antara inisiatif yang dapat mengingatkan kita kepada kematian terutama sekali bagi masyarakat Islam dan betapa signifikannya mempunyai pengetahuan yang mendalam berkaitan perkara ini agar setiap umat Islam mampu untuk membantu menguruskan jenazah terutama sekali jenazah ahli keluarga sendiri pada masa hadapan.








