SIRI KETIGA JUALAN KASIH KEDA MADANI BERLANGSUNG MERIAH
YAN – Meriah! Itulah gambaran suasana program anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) iaitu Jualan Kasih KEDA Madani apabila menerima kehadiran kira-kira lebih 3,000 pengunjung.
Pengunjung yang rata-rata adalah penduduk Yan dan sekitar telah hadir seawal jam 8.30 pagi bagi membeli 53 jenis barangan keperluan harian dengan harga lebih murah di pekarangan dewan Desa KEDA Singkir Badong, di sini.
Program kali ini telah dilancarkan oleh Pengerusi KEDA, Mejar Jeneral (B), Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom. Turut hadir adalah Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kedah, YBhg. Puan Zuriana binti Mat Adam, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, YBrs. Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), YBrs. Hajah Afifah binti Haji Omar.
Menurut Dato’ Seri Jamil Khir ketika ditemu ramah, program yang bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu dapat memberi peluang kepada penduduk di daerah itu untuk membeli barangan seperti beras, ikan segar, sayur-sayuran dan buah-buahan secara langsung daripada pengusaha dengan penjimatan harga sehingga 30 peratus.
“Jualan hari ini merupakan rentetan sambutan baik dan luar biasa yang diterima ketika penganjuran di Ibu Pejabat KEDA Alor Setar dan Sik. Kita mahu membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dan diharapkan ia dapat membantu mereka.”
“Jualan ini juga turut menjadi medium untuk mempromosi dan memasarkan produk usahawan dan seterusnya meningkatkan pendapatan peniaga. Turut dibuka adalah jualan 20 produk usahawan KEDA tempatan seperti ais sagat dan kuih tradisional,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, KEDA turut mengadakan jualan ‘combo sale’ dan ‘happy hour’ di mana tiga barangan iaitu ayam, minyak dan gula dijual dengan harga murah RM10.
Rata-rata pengunjung berpuas hati dengan program ini dan berharap agar ianya dapat diteruskan lagi di masa akan datang.