MUNSYI MUDA BAHASA KEDA DIJEMPUT DALAM MAJLIS PENTAULIAHAN MUNSYI MUDA BAHASA 2023/2024 DAN SAMBUTAN INTAN 65 TAHUN

MUNSYI MUDA BAHASA KEDA DIJEMPUT DALAM MAJLIS PENTAULIAHAN MUNSYI MUDA BAHASA 2023/2024 DAN SAMBUTAN INTAN 65 TAHUN

KUALA LUMPUR – Bukan sahaja terlibat dalam menjadi jurupantun dan pramuwaktu Pesta Sayembara Pantun antara Kementerian bagi tahun ini, malah ketiga-tiga Munsyi Muda Bahasa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) turut terlibat dalam menyempurnakan Majlis Pentauliahan Munsyi Muda Bahasa 2023/2024 dan Sambutan Intan 65 Tahun.
Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman, Encik Ameerul Zafran bin Saiful Amir (Unit Komunikasi Korporat) dan Encik Mohd Zaiem bin Johari (Pejabat KEDA Zon 4, Sik) telah hadir sebagai urusetia majlis tersebut yang berlangsung di INTAN Bukit Kiara, di sini.
Seramai 161 penjawat awam dari pelbagai kementerian dan agensi telah ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa pada 6 November 2024, membolehkan mereka menjadi rujukan Bahasa Melayu di organisasi masing-masing.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berharap pentauliahan ini akan memperkasa penggunaan Bahasa Melayu di sektor awam sebagai model bahasa rasmi yang betul dan berwibawa. Menurut beliau, “Penggunaan Bahasa Melayu dalam dokumen kerajaan menjadi penanda aras bagi sektor swasta dan rujukan pihak luar negara.”
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim mewakili KPPA di INTAN dan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md. Johari bin Hasan serta Timbalan Pengarah Kanan INTAN, YBhg. Datuk Dr. Haniff bin Zainal Abidin.
Program ini, diperkenalkan sejak 2015 oleh JPA dan Dewan Bahasa dan Pustaka, menetapkan Munsyi Muda Bahasa sebagai perujuk bahasa bagi memastikan bahasa rasmi kerajaan yang standard dan tepat, selaras dengan Ceraian P.O. 1.1.1 MyPPSM: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam.