MUNSYI MUDA BAHASA KEDA MERIAHKAN PESTA SAYEMBARA PANTUN MADANI ANTARA KEMENTERIAN TAHUN 2024
KUALA LUMPUR – 3 orang staf Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang juga merupakan Munsyi Muda Bahasa agensi ini telah dilantik sebagai urus setia Pesta Sayembara Pantun MADANI Antara Kementerian Tahun 2024.
Mereka adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman, Encik Ameerul Zafran bin Saiful Amir (Unit Komunikasi Korporat) dan Encik Mohd Zaiem bin Johari (Pejabat KEDA Zon 4 Sik).
Pesta Sayembara Pantun MADANI Antara Kementerian anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini telah memulakan pertandingannya sejak 4 November 2024 lalu.
Dengan tema “Penjawat Awam Nadi Malaysia MADANI”, ianya adalah satu bentuk penghargaan kepada penjawat awam berteraskan nilai kemanusiaan, keadilan dan kesejahteraan.
Penjawat awam tidak dapat lari dari tanggungjawab mereka dalam menggerakkan dasar-dasar kerajaan yang memastikan pentadbiran cekap dan berintergriti.
Seni pantun pula diterapkan sebagai medium memperkukuh nilai MADANI iaitu Ihsan dan Perpaduan melalui seni bahasa yang kreatif dan halus dengan mengubah tanggapan pantun bukan sekadar warisan kebudayaan namun ianya menjadi alat penyebaran mesej keharmonian.
Seramai 10 pasukan mendaftar sebagai peserta sayembara ini. Pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mewakili Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah berjaya menjadi johan sayembara ini dengan menumpaskan pasukan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) yang mewakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di pentas akhir.