PENDUDUK DESA KEDA BATU 8 TIMBA ILMU PENGURUSAN JENAZAH

PENDUDUK DESA KEDA BATU 8 TIMBA ILMU PENGURUSAN JENAZAH

BALING – Seramai 49 wanita daripada kalangan penduduk Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Batu 8 mengambil peluang mempelajari ilmu pengurusan jenazah menerusi Kursus Pengurusan Jenazah yang dianjurkan baru-baru ini.
Program ini merupakan inisiatif bersama Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Batu 8 dengan bimbingan Ustazah Norhiyah binti Mohamad Isa.
Kursus yang diadakan di Desa KEDA Batu 8 ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam masyarakat Islam.
Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada peserta untuk mendalami aspek keinsafan dan tanggungjawab dalam menguruskan jenazah secara sempurna.
Menurut penganjur, program seperti ini memberi impak positif kepada komuniti dengan menanamkan nilai-nilai murni serta memperkasakan ilmu agama dalam kalangan penduduk desa.
“Alhamdulillah, melalui majlis ilmu ini, para peserta dapat menambah kefahaman mereka terhadap kepentingan pengurusan jenazah, yang bukan sahaja sebahagian daripada tanggungjawab sebagai Muslim, tetapi juga untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam masyarakat,” kata salah seorang peserta.
Program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dan diharapkan menjadi permulaan kepada lebih banyak inisiatif keagamaan yang dapat memanfaatkan penduduk Desa KEDA Batu 8 pada masa akan datang.