SKUAD IHSAN MADANI KEDA SEMANGAT BANTU RAKAN TERKESAN BANJIR
ALOR SETAR – Skuad Ihsan Madani KEDA menunjukkan semangat tinggi dan kerjasama dalam membantu rakan sekerja yang terkesan akibat bencana banjir di Suka Menanti, baru-baru ini.
Mangsa banjir, Muhamad Mushrif bin Mukhtar, yang bertugas di Bahagian Niagatani, meluahkan rasa terima kasih kepada semua anggota Skuad Ihsan Madani KEDA yang sudi membantu membersihkan rumahnya.
Rumah yang diduduki bersama kedua ibu bapanya itu terletak berhadapan dengan Sungai Anak Bukit, menyebabkan kediamannya terjejas teruk dalam kejadian banjir tersebut.
“Banyak peralatan rumah rosak teruk dan lumpur tebal memenuhi ruang dalam rumah. Kehadiran Skuad Ihsan Madani KEDA ini benar-benar membantu meringankan beban saya dan keluarga dalam membersihkan rumah,” kata Muhamad Mushrif.
Tambahnya lagi, peralatan pembersihan yang dibawa oleh skuad tersebut turut memudahkan kerja-kerja pembersihan.
Skuad Ihsan Madani KEDA yang terdiri daripada 11 kakitangan KEDA menunjukkan komitmen tinggi dan semangat kerjasama yang luar biasa dalam menjalankan tugas pembersihan di rumah mangsa banjir.
Kecekapan dan kesungguhan mereka jelas kelihatan dalam setiap langkah yang diambil untuk membantu rakan mereka yang terkesan.