KEDA AGENSI TERBAIK KESELURUHAN CABARAN 500K LANGKAH ANMS PERINGKAT NEGERI KEDAH 2024
ALOR SETAR – Tahniah! Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) cemerlang lagi! KEDA telah dinobatkan sebagai agensi terbaik keseluruhan Cabaran 500K Langkah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Negeri Kedah bagi tahun 2024.
KEDA juga boleh berbangga apabila stafnya, Encik Mohd Faizul bin Mohd Fodzi dari Pejabat KEDA Zon 9, Bandar Baharu turut berjaya menggondol johan keseluruhan bagi kategori individu. Beliau juga berjaya mendapat tempat pertama bagi bulan Julai dan tempat ke-5 bagi bulan Ogos untuk kategori hadiah bulanan.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri Kedah, YB Mejar (B) Mansor bin Zakaria.
Hadir mewakili KEDA adalah Pengurus Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi dan Ketua Unit Komunikasi Korporat, Tuan Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman.
Selain Encik Faizul, turut hadir adalah 2 lagi staf KEDA yang berjaya menempatkan diri dalam 10 peserta terbaik keseluruhan. Mereka ialah pemenang tempat ke-5, Encik Mohamad Zaherudin bin Khairun dari Pejabat KEDA Zon 3, Pendang/Pokok Sena dan pemenang tempat ke-9, Encik Mohd Syafiq bin Abdul Razak dari Unit Pentadbiran Am.
Kedua-dua mereka turut cemerlang apabila Encik Zaherudin berjaya mendapat tempat ke-6 bagi bulan Julai dan Encik Syafiq berjaya mendapat tempat ke-6 bagi bulan Ogos.
Dengan kemenangan ini, KEDA membawa pulang RM 2,000 dan sijil penyertaan. Kejayaan ini sangat membanggakan KEDA memandangkan dengan kekuatan 292 orang staf yang menjadi peserta, agensi ini berjaya menumpaskan 49 agensi lain yang bertanding.
Cabaran ini telah bermula seawal 1 Julai 2024 sehingga 31 Ogos 2024. Dengan penyertaan 49 agensi, seramai 3,687 staf kerajaan telah menyertai cabaran ini untuk kategori individu dan mewakil agensi masing-masing.
Seiring dengan matlamat ANMS itu sendiri, cabaran ini adalah bagi menggalakkan rakyat Kedah khususnya penjawat awam dalam mengaktifikan aktiviti fizikal untuk menjadi lebih cergas.
Tahniah KEDA!
Semestinya Kita Juara!