57 PESERTA PLKK TERIMA SIJIL TAMAT LATIHAN
SUNGAI PETANI – Seramai 57 peserta Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Tahun 2023 tajaan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menerima sijil tamat latihan dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Park Avenue, di sini, hari ini.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, dalam ucapannya menyeru para peserta untuk mensyukuri pencapaian tersebut dan menggunakan ilmu yang diperoleh untuk memberi sumbangan kembali kepada masyarakat.
“Peserta yang tamat latihan ini adalah dari tiga kursus iaitu Kursus Industrial Automation (Mechatronics), Kursus Industrial Electronics, dan Kursus Industrial Electrical,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Peserta Tajaan KEDA Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) Tahun 2023.
Beliau turut memaklumkan bahawa kos bagi seorang peserta untuk kursus ini adalah sebanyak RM4,600, meliputi yuran pengajian, bahan latihan, insurans perlindungan diri, elaun sara diri, makan minum, dan penginapan.
Menurut beliau, PLKK 2023 dianjurkan dengan kerjasama Kedah Industrial and Management Development Centre (KISMEC), yang diiktiraf sebagai penyedia latihan dan perunding berpengalaman dalam bidang perindustrian.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Eksekutif KISMEC, Tuan Haji Mohd Yusuri bin Yusof, dan Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar.
Jelas beliau, KEDA menerima peruntukan sebanyak RM600,000 daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk melaksanakan PLKK 2023, melibatkan pelbagai kursus seperti Gunting Rambut Profesional, Automasi Mekatronik, Elektronik, Elektrik, serta Perkhidmatan Asas Hospitaliti dan Latihan Operasi.
Bagi tahun 2024, KEDA telah diperuntukkan RM532,970 untuk melaksanakan sembilan kursus baharu termasuk Pengendalian Drone Pertanian, Air Conditioning System, Gas Paip, Pemasangan Perancah Tahap 1, Plumbing, Solar, Teknologi Bangunan, Teknologi Motosikal, dan Gearbox.
Majlis tersebut menjadi platform untuk meraikan kejayaan peserta serta menekankan komitmen KEDA dalam memperkasakan modal insan melalui program latihan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.