KEDA PERKASA PLKK BANTU PESERTA PEROLEH PASARAN PEKERJAAN
SUNGAI PETANI – Lembaga Kemajuan Wilayah KEDA (KEDA) terus komited memperkasa Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) di bawah Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) untuk meningkatkan kemahiran kumpulan sasar agar lebih mudah memperoleh peluang pekerjaan selepas tamat latihan.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, menyatakan bahawa usaha pemerkasaan ini bertujuan memastikan peserta program mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi melalui kerjasama strategik bersama Pusat Pengurusan dan Kemahiran Industri Kedah (KISMEC) dan pihak industry lain.
“KEDA akan pastikan bersama pihak yang dilantik sebagai pengurus Program iaitu KISMEC untuk sama-sama berkolaborasi dengan pihak industri bagi memastikan pelajar-pelajar tersebut mendapat pekerjaan. Pihak KEDA telah berjaya menganjurkan kursus-kursus yang mendapat permintaan tinggi dalam pasaran.
“Kita dalam usaha untuk meningkatkan lagi peningkatan dari segi kemahiran yang berasaskan teknologi-teknologi terkini yang ditekankan oleh KEDA bagi memastikan kebolehpasaran peserta dalam bidang industri,”.
Beliau berkata pada Sidang Media pada Majlis Penyampaian Sijil Peserta Tajaan KEDA PLKK Tahun 2023, di Hotel Park Avenue, di sini hari ini.
Tambah beliau, KEDA telah berkolaborasi dengan KISMEC yang mempunyai hubungan baik dengan pihak industri agar TVET dijadikan sebagai pilihan pertama untuk permintaan pekerjaan di masa akan datang.
Untuk maklumat, PLKK yang diwujudkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk meningkatkan kemahiran kumpulan sasar supaya mereka mampu mendapat pekerjaan atau mengusahakan perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang lebih tinggi dan seterusnya mengeluarkan mereka serta keluarga dari belenggu kemiskinan.
PLKK menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar mengikuti kursus jangka pendek, sederhana dan panjang termasuk kemahiran asas Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) Sijil Kemahiran Malaysia Tahap I, II dan III.