59 KELUARGA DI DESA-DESA KEDA ZON 9, BANDAR BAHARU TERIMA GERAN HAK MILIK
BANDAR BAHARU – Sebanyak 59 keluarga dari tiga Desa KEDA di Daerah Bandar Baharu hari ini melakar kenangan manis apabila menerima geran hak milik rumah masing-masing dalam satu majlis rasmi di Dewan Desa KEDA Sungai Tengas, di sini.
Penyerahan geran tersebut telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff.
Majlis turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Bandar Baharu, Tuan Mohd Noor bin Ismail, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Hartanah dan Prasarana KEDA, Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar, serta Pegawai Pembangunan Zon 9, Bandar Baharu, Encik Muhamad Noorhisham bin Taib.
Dalam ucapannya, YBhg. Tuan Ismasuhaimi mengucapkan tahniah kepada penerima geran yang terdiri daripada penduduk Desa KEDA Sungai Tengas, Desa KEDA Sungai Buluh, dan Desa KEDA Leret.
“Semua penerima perlu bersyukur dengan nikmat yang diperoleh hari ini. Ini bukan sahaja pencapaian besar, tetapi juga tanggungjawab untuk terus menjaga keharmonian komuniti serta meningkatkan taraf pendidikan, ekonomi, dan pendapatan keluarga masing-masing pada masa hadapan,” katanya.
Seorang penerima, Mohd Asri bin Taib, 54, dari Desa KEDA Sungai Buluh, melahirkan rasa syukur atas pemberian geran yang telah dinanti-nantikan selama ini.
“Alhamdulillah, ini rezeki untuk keluarga kami. Dengan adanya geran ini, masa depan kami lebih, terjamin,” katanya.
Sementara itu, Rosli bin Mat Isa, juga dari Desa KEDA Sungai Buluh, menganggap pemberian geran ini sebagai hadiah istimewa untuk keluarganya.
“Rumah ini asalnya rumah papan. Sedikit demi sedikit saya ubah suai sehingga akhirnya hari ini mendapat geran hak milik. Ini hadiah untuk lima anak saya,” ujarnya dengan penuh kesyukuran.
Majlis tersebut mencerminkan komitmen KEDA dalam meningkatkan taraf kehidupan penduduk luar bandar menerusi pelbagai inisiatif yang memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Dengan pemilikan geran ini, penduduk kini lebih bersemangat untuk memulakan tahun baharu 2025 dengan harapan dan peluang yang lebih cerah.
——————————-

——————————-