KEDA KOMITED SELESAIKAN ISU PEMILIKAN TANAH DESA-DESA KEDA
BANDAR BAHARU – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan masalah pemilikan tanah di Desa-Desa KEDA dengan peruntukan sebanyak RM5.386 juta pada tahun ini.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, berkata, sejak tahun 2018 hingga kini, sebanyak 1,533 keping geran hak milik telah diserahkan kepada penduduk Desa KEDA dan pada tahun ini, KEDA menjangkakan untuk menyerahkan kira-kira 200 lagi geran kepada Ketua Isi Rumah (KIR).
“Peruntukan ini meliputi bayaran premium tanah, proses hak milik serta kos lain yang berkaitan dengan penukaran hak milik.
“Dengan penyelesaian isu hak milik ini, waris peserta PPRS yang telah meninggal dunia dapat meneruskan kehidupan mereka di tanah tersebut,” katanya ketika berucap pada Sidang Media Majlis Serahan Geran Hak Milik Penduduk Desa-Desa KEDA Zon 9, di Dewan Desa KEDA Sungai Tengas, Serdang, di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas kerjasama yang diberikan dalam mengeluarkan geran pemilikan tanah, serta berharap agar sokongan ini dapat diteruskan bagi mempercepatkan urusan hak milik tanah pada masa hadapan.
Majlis ini mencerminkan komitmen KEDA dalam memperkasakan komuniti luar bandar melalui pemilikan tanah yang sah, seterusnya memastikan kestabilan kehidupan generasi akan datang.