KEDA TERIMA PERUNTUKAN RM 74.758 JUTA BAGI TAHUN 2025
ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah berjaya menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM 74.758 juta (RM74,758,900).
Peruntukan keseluruhan bagi tahun 2025 ini adalah meliputi RM 40.758 juta (RM 40,758 900) membabitkan bajet pembangunan dan RM 34 juta (RM 34,000,000) melibatkan bajet pengurusan.
Bagi bajet pembangunan, ianya dipecahkan kepada beberapa skop iaitu melibatkan 7 projek prasarana berjumlah RM20.683 juta, 4 projek ekonomi dan pertanian berjumlah RM7.25juta, 5 projek modal insan sebanyak RM10.5 juta, 3 projek usahawan berjumlah RM 1.8 jutadan 1 projek sistem penyampaian berjumlah RM525,000.
Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff ketika menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Amanat Tahun Baharu yang disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia Madani dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di atas keyakinan kepada KEDA.
“Seperti yang selalu saya tekankan, saya inginkan warga kerja KEDA istiqamah dalam segala kerja buat kita. Kita sudah berjuang untuk dapatkan bajet berdasarkan kertas kerja yang diangkat.
Justeru, semua perancangan kita ke arah matlamat yang dihasratkan. Jadi, seharusnya kita perlu pastikan landasan pelan yang dirancang digunakan dan diikuti sebaik-baiknya”, ujar beliau.
Pengerusi KEDA ketika menyampaikan amanat di Kompleks Ibu Pejabat KEDA ini telah berpesan kepada warga KEDA agar bersedia menerima perubahan semasa yang sedang berlaku.
“Dunia hari ini sesang berubah dengan sangat pantas. Penggunaan Teknologi, Artificial Intelligence (AI) dan juga pendigitalan perlu seiiring dengan kerja buat kita di KEDA.
Kita perlu bersama-sama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam membangunkan masyarakat desa dengan kapasiti dan kekuatan yang kita ada secara bersama”, ujar beliau.
Pada masa yang sama, Pengerusi KEDA turut menyerahkan sumbangan Back To School anjuran PUSPANITA Negeri Kedah dan hadiah saguhati Persembahan Agensi Sempena Perhimpunan Bulanan KKDW 2023/2024.