KEDA JENAMAKAN SEMULA DAN LANCAR JERSI RASMI PASUKAN BOLA SEPAK KEDA FC

KEDA JENAMAKAN SEMULA DAN LANCAR JERSI RASMI PASUKAN BOLA SEPAK KEDA FC

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah melancarkan jersi rasmi pasukan bola sepak KEDA Football Club (KEDA FC) dalam satu majlis di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, Jalan Langgar.
Selain melancarkan jersi rasmi pasukan, majlis yang diadakan ini turut memperkenalkan barisan pengurusan, kejurulatihan dan pemain yang akan mewakili kelab bola sepak KEDA ini.
Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff selaku Penaung KEDA FC.
Hadir bersama dalam majlis ini adalah Pengurus Khidmat Pengurusan, Encik Mohd Ariff bin Mohd Rodzi selaku Yang Dipertua Kelab Kebajikan, Sukan dan Kebudayaan KEDA (Kelab KEDA) dan Ketua Unit Pelaburan dan Kawal Selia Anak Syarikat, Encik Hasrul Hasnizam bin Saad selaku Pengurus Pasukan.
Dalam ucapan beliau, Tuan Ismasuhaimi menjelaskan bahawa pasukan bola sepak KEDA telah dijenamakan semula sebagai KEDA FC untuk meningkatkan pengiktirafan dan menarik perhatian umum.
“Pasukan yang dikenali dengan jolokan The Hornet ini diharap dapat meneruskan kegemilangan dalam arena bola sepak serta melahirkan bakat-bakat baharu yang berpotensi,” katanya.
Pasukan KEDA FC, yang terdiri daripada 25 pemain, bakal menyertai Kejohanan Liga Bola Sepak 2025 Daerah Kubang Pasu Piala Pegawai Daerah dan Champion Cup 2025 Piala Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kubang Pasu.
Menurut beliau, kejohanan tersebut telah bermula pada 10 Januari lalu, dan Pasukan KEDA FC akan memulakan saingan kumpulan D pada 16 Januari 2025 bertempat di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), Jitra.
“Setiap pemain perlu memberi komitmen sepenuhnya dalam setiap perlawanan, mengikut peraturan, serta bekerjasama demi mencapai kejayaan pasukan,” tambahnya.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan penyerahan simbolik jersi baharu pasukan yang menampilkan reka bentuk ringkas tapi menarik dengan kombinasi warna kuning, biru, unggu dan hijau.
Semoga dengan penjenamaan ini dapat memberi nafas baru kepada pasukan bola sepak KEDA seterusnya memberi motivasi dalam mencipta kejayaan dalam arena ini.