PROGRAM KHATAN PERDANA ANAK-ANAK DESA BUKIT TUKANG JUSOF MERIAHKAN KOMUNITI
SUNGAI PETANI – Program Khatan Perdana Anak-Anak Desa KEDA 2025 berjaya memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk Desa KEDA Bukit Tukang Jusof dan kampung sekitar. Program yang diadakan hari ini melibatkan 50 peserta dari kalangan anak-anak desa serta penduduk setempat.
Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman, yang menzahirkan penghargaan terhadap usaha ini sebagai langkah memelihara tradisi berkhatan sambil memperkukuh perpaduan komuniti.
Turut hadir ialah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, dan Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam Omar. Kehadiran mereka menyerikan lagi program yang disambut meriah oleh masyarakat setempat.
Program ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada peserta tetapi turut dimeriahkan dengan aktiviti semburan air oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Aktiviti ini berjaya menceriakan para peserta sebelum proses berkhatan berlangsung.
Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh penduduk dan pihak penganjur menjadikan program ini satu kejayaan besar, mencerminkan usaha KEDA dalam membina komuniti yang harmoni dan saling menyokong.