PERHIMPUNAN BULANAN KEDA FEBRUARI 2025

PERHIMPUNAN BULANAN KEDA FEBRUARI 2025

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan Februari 2025 yang berlangsung bersama Majlis Penutup Sukan KEDA (SUKEDA) 2025 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, kelmarin.
Majlis ini disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, bersama Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar.
Dalam ucapannya, YBhg. Tuan Ismasuhaimi menekankan kepentingan sinergi strategik antara Kerajaan Persekutuan, Negeri, dan antarabangsa dalam memacu kecemerlangan perkhidmatan awam.
Beliau turut merujuk kepada Deklarasi Kuala Lumpur – Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia, yang telah dimeterai pada 24 November 2024 oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan semua Setiausaha Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, Deklarasi KL ini menjadi komitmen semua penjawat awam di peringkat Persekutuan dan Negeri dalam melaksanakan reformasi bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Justeru, beliau menyeru agar semangat deklarasi ini terus diperkukuhkan melalui program-program yang memperkukuh kerjasama antara kedua-dua peringkat kerajaan.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan Indeks Persepsi Rasuah Corruption Perception Index (CPI), yang telah ditetapkan dengan sasaran berada di tangga ke-25 dunia menjelang tahun 2033. Transparency International dijangka mengumumkan penarafan terbaru CPI pada 11 Februari 2025, yang menurut beliau, perlu diberi perhatian oleh semua penjawat awam.
Majlis turut menyaksikan penutupan rasmi Sukan KEDA (SUKEDA) 2025, yang telah berlangsung dengan penyertaan meriah dari kakitangan KEDA dalam pelbagai acara sukan.
Program ini bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal, tetapi juga memupuk semangat kesukanan dan ukhuwah dalam kalangan warga kerja KEDA.
Majlis berakhir dengan sesi bergambar serta penyampaian hadiah kepada pasukan dan peserta yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam SUKEDA 2025.