PASUKAN EAGLE WARRIOR JUARA KESELURUHAN SUKEDA 2025
ALOR SETAR – Pasukan Eagle Warrior berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan Sukan KEDA (SUKEDA) 2025 setelah meraih dua lagi pingat emas pada hari terakhir kejohanan, sekali gus melonjakkan kedudukan mereka di tangga teratas carta pingat.
Dua pingat emas yang diperoleh menerusi acara bola jaring dan bola sepak menjadikan kutipan keseluruhan pasukan itu sebanyak 4 emas, 4 perak dan 6 gangsa.
Kejayaan pasukan yang bertemakan warna biru ini menyaksikan Ketua Pasukan (Chief De Mission), Hajah Afifah binti Haji Omar, menerima pingat juara keseluruhan yang disampaikan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff dalam majlis penutupan rasmi SUKEDA 2025 di Stadium Sultan Abdul Halim, kelmarin.
Tempat kedua dimenangi oleh pasukan Alligator Fighter yang bertema warna hijau dengan kutipan 4 emas, 2 perak dan 8 gangsa, diikuti oleh pasukan Dragon Samurai bertema warna kuning di kedudukan ketiga dengan 3 emas, 6 perak dan 5 gangsa, manakala pasukan King Cobra bertema warna merah berada di tempat keempat dengan 3 emas, 2 perak dan 9 gangsa.
SUKEDA 2025 mempertandingkan 14 acara sukan yang melibatkan kategori lelaki, wanita dan campuran. Kejohanan ini menghimpunkan semua staf KEDA dalam empat pasukan utama, dengan keahlian antara 95 hingga 98 orang bagi setiap pasukan.
Maskot binatang terus digunakan sebagai simbol kekuatan, dengan setiap pasukan dinamakan mengikut akronim KEDA.
Tahun ini, frasa kedua nama pasukan diperkaya dengan elemen keperwiraan bagi menyuntik semangat juang dalam kalangan peserta.
Penganjuran SUKEDA 2025 bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat sukan dalam kalangan warga kerja KEDA, tetapi juga sebagai wadah untuk memupuk gaya hidup aktif dan sihat, selaras dengan pepatah “Akal yang sihat lahir daripada badan yang cergas.”
——————————-

——————————