PROGRAM SAMBUTAN ISRAK MIKRAJ DESA KEDA PASIR PUTIH 2025 MERIAH DENGAN PENGISIAN KEAGAMAAN
PADANG TERAP – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Pejabat KEDA Zon 2 Padang Terap dengan kerjasama penduduk Desa KEDA Pasir Putih telah menganjurkan Program Sambutan Israk Mikraj 2025, yang berjaya menarik penyertaan lebih 150 orang penduduk setempat.
Majlis turut dihadiri oleh wakil Pejabat KEDA Zon 2 Padang Terap, iaitu Encik Maswari bin Mohammad Radzhi dan Encik Syaril bin Idris, yang bersama-sama menyantuni masyarakat setempat dalam program keagamaan yang penuh bermakna ini.
Program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan jamuan makan malam, sebelum diteruskan dengan pertandingan azan dan hafazan yang berlangsung selepas solat Isyak.
Seramai 10 kanak-kanak lelaki menyertai pertandingan azan, manakala 11 kanak-kanak perempuan mengambil bahagian dalam pertandingan hafazan.
Penganjuran program ini bukan sahaja menghidupkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat Desa KEDA Pasir Putih, malah memberi peluang kepada generasi muda untuk mendalami ilmu agama serta memahami kepentingan solat yang menjadi inti pati utama peristiwa Israk Mikraj.
Semoga program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh kecintaan umat Islam terhadap ajaran Rasulullah SAW serta mempereratkan ukhuwah dalam komuniti.