KEDA TERUSKAN PROGRAM DAURAH KITAB UNTUK PEMANTAPAN ILMU KEAGAMAAN

KEDA TERUSKAN PROGRAM DAURAH KITAB UNTUK PEMANTAPAN ILMU KEAGAMAAN

BALING – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus komited dalam memperkasakan pendidikan agama di luar bandar dengan menganjurkan Program Daurah Kitab di beberapa madrasah terpilih di Kedah.
Program kerohanian ini dimulakan tahun ini di Madrasah Yayasan Al-Huffaz, Kuala Ketil, Baling, dengan penganjuran dua siri pengajian kitab.
Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara KEDA dan Yayasan Al-Huffaz, bertujuan untuk memperkukuh pemahaman masyarakat luar bandar terhadap ilmu agama.
Siri pertama program dikendalikan oleh Mudir Maahad Ihya’ Ulumuddin, Tuan Guru Ahmad Ridoudin Abdul Wahab, yang menyampaikan pengajian Kitab Al-Kharidah Al-Bahiyyah.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Unit Komunikasi Korporat KEDA, Syed Muhammad Adam bin Syd Abdul Rahman.
Penganjuran Program Daurah Kitab ini membuktikan kesungguhan KEDA dalam memperkasakan pembangunan insan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar, melalui pemantapan ilmu kerohanian dan keagamaan.