PROGRAM KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL (SPIKE) DI DESA KEDA BENDANG PERANG
POKOK SENA – Program Kesedaran Pengurusan Sisa Pepejal (SPIKE) telah berjaya dianjurkan di Desa KEDA Bendang Perang, Pokok Sena dengan kehadiran pelbagai pihak berkepentingan bagi menjayakan inisiatif ini.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal yang sistematik dan mesra alam dan memberi pendedahan kepada penduduk tentang kaedah terbaik dalam mengurus dan mengitar semula sisa pepejal, sekali gus membantu dalam pemeliharaan alam sekitar.
Program ini turut dihadiri oleh Pegawai Pembangunan Zon 3 Pendang/Pokok Sena, Encik Mohd Hafiz Bin Ahmad, bersama Encik Faiz Helmi bin Shukri dari Bahagian Hartanah dan Prasarana serta wakil pegawai daripada Bahagian Pembangunan Komuniti KEDA.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah wakil dari Green Resource Recovery yang menyampaikan taklimat berkaitan pengurusan sisa pepejal yang efektif.
Sebagai sebahagian daripada program ini, beberapa agensi telah mengadakan pameran bagi memberi pendedahan kepada masyarakat tentang peranan mereka dalam pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.
Antara agensi yang terlibat ialah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), PERKESO, Jabatan Alam Sekitar, Kolej KEDA, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Pejabat KEDA Zon 3 Pendang/Pokok Sena merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan program ini serta berharap usaha seperti ini dapat diteruskan bagi memastikan kesejahteraan dan kebersihan kawasan persekitaran sentiasa terjaga.