PROGRAM KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL (SPIKE) 2.0 BERJAYA DIANJURKAN DI DESA KEDA SUNGAI TENGAS

PROGRAM KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL (SPIKE) 2.0 BERJAYA DIANJURKAN DI DESA KEDA SUNGAI TENGAS

BANDAR BAHARU – Program Kesedaran Pengurusan Sisa Pepejal (SPIKE) 2.0 telah berjaya dianjurkan di Desa KEDA Sungai Tengas, Bandar Baharu dengan objektif meningkatkan kesedaran penduduk mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal yang sistematik serta amalan kitar semula bagi memelihara alam sekitar.
Program ini telah dihadiri oleh Pegawai Pembangunan Zon 9 Bandar Baharu, Encik Muhammad Noorhisham Bin Taib, bersama pegawai dari Bahagian Hartanah dan Prasarana (BHP), iaitu Encik Faiz Helmi bin Shukri, Puan Sarina Binti Nor, dan Encik Mohamad Sayuti Bin Jamain.
Turut hadir ialah wakil daripada Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK), Encik Shorizan bin Zamri, serta pihak Syarikat Green Resources Recovery yang menyampaikan taklimat berkaitan pengurusan sisa pepejal secara lestari.
Selain itu, program ini turut memberi manfaat kepada penduduk dengan penganjuran sesi demonstrasi kitar semula dan pengkomposan sisa makanan, yang membolehkan mereka mempraktikkan konsep kelestarian di rumah masing-masing.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sampah yang dibuang ke tapak pelupusan, malah boleh menjana sumber pendapatan sampingan melalui jualan bahan kitar semula.
Sebagai sebahagian daripada program ini, penyerahan bantuan bakul makanan telah disampaikan kepada 10 penduduk Desa KEDA Sungai Tengas sebagai persiapan menjelang bulan Ramadan Al-Mubarak 1446H.
Pejabat KEDA Zon 9 Bandar Baharu merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, dengan harapan kesedaran yang ditanam akan terus diamalkan oleh komuniti setempat demi kelestarian alam sekitar.