JUALAN KASIH KEDA MADANI BALING PEMBUKA TIRAI 2025
BALING – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah memulakan kembara jualan kasih dengan Program Jualan Kasih KEDA MADANI di Pejabat Zon 5, Baling, menjadi inisiatif awal tahun dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga berpatutan, khususnya dalam menghadapi bulan Ramadan yang bakal tiba.
Program anjuran Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU) ini diadakan bagi memastikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, dapat membuat persiapan dengan lebih mudah dan menjimatkan.
Program ini juga merupakan kesinambungan daripada kejayaan jualan tahun lalu dan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Jualan Kasih KEDA MADANI ini bertujuan mengurangkan beban rakyat dalam menyediakan keperluan asas dengan penjimatan harga sehingga 30%, bagi mempermudah urusan menyambut bulan Ramadan.
Hadir menyempurnakan majlis adalah Ahli Lembaga Pengarah KEDA, YBhg. Dato’ Aminuddin bin Omar. Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengarah FAMA Negeri Kedah, Encik Shaiful Azhar bin Zolkipli dan Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani Romeli.
Jualan kali ini dihoskan oleh Pejabat KEDA Zon 5 yang diketuai oleh pegawainya, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil.
Jualan ini menawarkan lebih 53 jenis barangan asas seperti beras, minyak masak, ikan segar, ayam, sayur-sayuran, dan buah-buahan pada harga subsidi.
Kerjasama erat antara KEDA dan FAMA Negeri Kedah membolehkan rakyat mendapatkan produk berkualiti tinggi terus dari pengeluar dengan harga lebih rendah.
Selain itu, sebanyak 20 produk usahawan KEDA dan FAMA turut dipasarkan dalam program ini sebagai platform memperkasa perniagaan kecil dan sederhana (PKS).
Menariknya, promosi khas seperti jualan Combo Sale dan Happy Hour turut diadakan bagi memberi lebih banyak peluang penjimatan kepada pembeli.
KEDA komited untuk terus menganjurkan program jualan sebegini di daerah lain sepanjang tahun dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Kedah.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat tetapi juga menyokong pembangunan ekonomi usahawan tempatan.