JUALAN KASIH KEDA MADANI BALING RINGANKAN BEBAN PERSIAPAN RAMADAN

JUALAN KASIH KEDA MADANI BALING RINGANKAN BEBAN PERSIAPAN RAMADAN

BALING – Dalam usaha membantu rakyat membuat persiapan menyambut Ramadan, Program Jualan Kasih KEDA MADANI yang diadakan di Pejabat Zon 5, Baling, Kedah hari ini mendapat sambutan menggalakkan.
Program ini menawarkan pelbagai barangan keperluan asas dengan harga lebih murah bagi meringankan beban pengguna menjelang bulan puasa dan nisiatif ini memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan barangan dapur dengan harga berpatutan, sekaligus mengurangkan kos persiapan Ramadan.
Majlis telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah KEDA, YBhg. Dato’ Aminuddin Omar, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KEDA, Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengarah FAMA Negeri Kedah, Encik Shaiful Azhar bin Zolkipli dan Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani bin Romeli.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2024 oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) melalui Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), Program Jelajah Jualan Kasih KEDA MADANI terus diperluaskan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada penjimatan harga barangan keperluan.
Seorang pengunjung, Nor Fadzila binti Abdullah, 31, dari Desa KEDA Sadek, berkata beliau datang bersama ibu bapanya untuk membeli barangan persiapan Ramadan.
“Saya sangat berpuas hati kerana harga barangan di sini jauh lebih murah berbanding di pasaran,” katanya.
Sementara itu, Mohd Jamal Saidin, 56, yang datang seawal jam 9 pagi bersama isterinya, Nor Hasyimah binti Taib, 53, berkata mereka berjaya mendapatkan barangan asas seperti beras, telur, daging, serta set kombo happy hour pada harga hanya RM10.
“Memang berbaloi membeli di sini… harga jauh lebih murah dengan penjimatan maksimum,” katanya.
Bagi memastikan penduduk mendapat manfaat terbaik, KEDA bekerjasama dengan FAMA Negeri Kedah untuk menawarkan 53 jenis barangan keperluan, termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, hasil laut, daging segar, dan produk kering keluaran Agromas, dengan potongan harga sehingga 30%.
Inisiatif ini membolehkan penduduk membuat persiapan sahur dan berbuka puasa dengan lebih mudah dan berpatutan.
KEDA komited dalam memastikan rakyat dapat menyambut Ramadan dengan lebih selesa melalui jualan mampu milik ini.
Melalui usaha seperti ini, KEDA berharap masyarakat dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih lancar tanpa tekanan kewangan yang tinggi.