PROGRAM ISRAK DAN MIKRAJ PERDANA 2025 DI MASJID FUTUHURRAHMAN MERIAH
PENDANG – Program Israk dan Mikraj Perdana 2025 disambut dengan penuh penghayatan oleh penduduk sekitar Pendang di Masjid Futuhurrahman, Asam Jawa, baru-baru ini.
Majlis ilmu ini menampilkan ceramah khas oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) merangkap Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, Dr. Akli Ahmad.
Dalam ceramahnya, beliau menekankan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai bukti kebesaran Allah serta penekanan terhadap kepentingan solat sebagai benteng diri daripada maksiat dan dosa.
Beliau turut menjelaskan bahawa meskipun peristiwa ini kelihatan sukar untuk diterima akal, ia adalah ujian keimanan bagi umat Islam serta bukti bahawa segala yang dikehendaki Allah pasti akan berlaku.
Turut hadir memeriahkan program ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Malaysia, Dato’ Suraya Yaacob, Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Azam bin Omar, Pegawai Pembangunan Zon 3 Pendang/Pokok Sena, Encik Hafiz bin Ahmad, serta Ketua Unit Audit Dalam KEDA, Mohd Hafizuddin bin Mohd Asri.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi ilmu, malah mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat melalui penghayatan nilai-nilai Islam.