PROGRAM KESEDARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL (SPIKE) DESA KEDA BAGAN SENA BERJALAN LANCAR
KULIM – Program Kesedaran Pengurusan Sisa Pepejal (SPIKE) di Desa KEDA Bagan Sena, Kulim telah berjaya dilaksanakan dengan objektif memberi pendedahan kepada penduduk mengenai kaedah pengurusan sisa pepejal yang lebih sistematik dan berkesan.
Program ini bertujuan membantu mengatasi isu pembuangan sampah yang tidak terurus serta mengurangkan pencemaran alam sekitar di kawasan tersebut.
Program ini turut dihadiri oleh Pengurus Hartanah dan Prasarana (BHP) KEDA, Encik Elias bin Hassan, serta Pegawai Pembangunan Zon 6, Kulim, Encik Mohd Hakim bin Ahmad Nadzir.
Sepanjang program ini, pelbagai aktiviti telah diadakan bagi memberi manfaat kepada penduduk setempat antaranya ialah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak yang bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar sejak usia muda.
Selain itu, sumbangan zakat asnaf daripada Tabung Haji serta bakul makanan daripada KEDA telah disampaikan kepada golongan yang memerlukan.
Pihak Green Resource Recovery (E-Idaman) turut mengadakan sesi penerangan berkenaan kaedah pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif, manakala beberapa agensi seperti PERKESO, KWSP, Pejabat Kesihatan Daerah, Perpustakaan Desa, dan PTPTN membuka kaunter perkhidmatan serta pameran bagi memberi maklumat berguna kepada penduduk.
Dalam masa yang sama, pihak E-Idaman turut menyediakan perkhidmatan pembelian barangan kitar semula sebagai usaha menggalakkan masyarakat mengitar semula bahan buangan.
Selain itu, Pengurus BHP bersama kakitangan serta wakil Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK) turut meluangkan masa melawat premis-premis sekitar Bagan Sena, termasuk 4 unit kedai serta tapak cadangan projek SPIKE di Desa KEDA Bagan Sena.
Pejabat KEDA Zon 6, Kulim mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini.
Diharapkan usaha ini dapat diteruskan bagi memastikan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan penduduk setempat.