DESA KEDA CHE BEMA LOKASI PERMULAAN SIRI MAJLIS IFTAR KEDA MADANI 2025
Sungai Petani – Sudah menjadi kelaziman bagi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) meneruskan tradisi menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak saban tahun dengan pelbagai aktiviti melibatkan masyarakat, khususnya aktiviti berbuka puasa atau iftar.
Bagi tahun Hijrah 1446 dan tahun 2025 kali ini, KEDA mengadakan siri jelajah berbuka puasa bersama penduduk Desa-desa KEDA yang dinamakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025. Siri jelajah majlis iftar ini bakal menjengah di 14 lokasi Desa KEDA yang melibatkan 13 kawasan parlimen dalam negeri Kedah.
Majlis Iftar KEDA Madani Desa KEDA Che Bema melibatkan kawasan parlimen Merbok telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Shaiful Hazizy bin Zainol Abidin, Pengerusi KEDA Properties and Management Sdn Bhd, iaitu salah sebuah anak syarikat milik KEDA.
Dalam ucapan, beliau menjelaskan bahawa kerajaan Madani ini sentiasa menyantuni rakyat terutama golongan miskin luar bandar dengan pelbagai jenis insentif dan bantuan. Oleh yang demikian, rakyat seharusnya menyokong usaha kerajaan ini dalam masa yang sama sentiasa bersyukur kepada Tuhan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 7 Kuala Muda/Yan, Encik Khairul bin Ahmad.
Sebanyak 30 bakul makanan turut disumbangkan kepada penerima terpilih daripada golongan miskin dan memerlukan, yang disampaikan sendiri oleh Dato’ Shaiful Hazizy.
Terima kasih kepada semua yang hadir menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Desa KEDA Che Bema.
——————————-

——————————-