HUBUNGAN BAIK ANTARA KEDA DENGAN PEMIMPIN MASYARAKAT DAPAT MEMUDAHKAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

HUBUNGAN BAIK ANTARA KEDA DENGAN PEMIMPIN MASYARAKAT DAPAT MEMUDAHKAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Mahang – Dalam melaksanakan usahanya untuk membangunkan sosio-ekonomi dan modal insan masyarakat luar bandar, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) perlu memastikan adanya hubungan baik dengan pemimpin masyarakat tempatan.
Ini penting dalam memastikan pembangunan yang strategik dapat dilaksanakan dan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan serta memenuhi syarat.
Perkara ini diucapkan oleh YBhg. Datuk Haji Muhar bin Hussain, Pengerusi GiatMara Parlimen Kulim/Bandar Baharu, semasa merasmikan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 di pekarangan Surau At-Taqwa, Desa KEDA Dingin, Mahang, Kulim.
Beliau menyifatkan pendekatan yang diambil KEDA selama ini iaitu berbincang dan menjaga hubungan baik dengan pemimpin masyarakat tempatan perlu diteruskan agar bantuan yang akan disalurkan, tepat kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan menepati syarat permohonan.
Malah dengan melibatkan pemimpin tempatan, masyarakat dapat digerakkan untuk menjayakan aktiviti sosial yang dianjurkan KEDA atau agensi kerajaan yang lain.
YBhg. Datuk Muhar yang hadir bersama delegasi pimpinan bahagian Kulim/Bandar Baharu, mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada KEDA atas kejayaan mengadakan majlis iftar yang melibatkan penduduk Desa KEDA, khususnya di Desa KEDA Dingin, Kulim.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman, Pengurus Niagatani, Encik Sulaiman bin Mohd Noor, Pengarah Kolej KEDA, Encik Che Ridzuan bin Mohamad Isa dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 6 Kulim, Encik Muhammad Hakim bin Ahmad Nadzir.
Dalam majlis berkenaan, sebanyak 30 bakul makanan turut disumbangkan kepada penerima terpilih terdiri daripada mereka yang kurang berkemampuan dalam kalangan penduduk Desa KEDA Dingin dan Kampung Dingin yang terletak bersebelahan dengan Desa KEDA ini. Sumbangan berkenaan disampaikan sendiri oleh YBhg. Datuk Muhar bersama YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir.
Penduduk yang ditemui mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai KEDA yang hadir dari dekat dan jauh, malah dari Ibu Pejabat KEDA Alor Setar, memandangkan kedudukan Desa KEDA Dingin yang terletak jauh di selatan negeri Kedah dan bersebelahan pula dengan daerah Selama di negeri Perak.
Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat Parlimen Kulim/Bandar Baharu.