KEDA RAI 33 PEGAWAI TERIMA ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2024
ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) meraikan seramai 33 pegawai yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 dalam satu majlis penghargaan yang diadakan di Hotel Raia, Alor Setar.
Penganugerahan ini disempurnakan oleh Pengerusi KEDA, YBhg. Mejar Jeneral (B) Dato’ Seri Jamil Khir bin Baharom bersama Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman , Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Ustazah Hajah Siti Ashah binti Haji Ghazali, serta Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), YBhg. Dato’ Afandi bin Nordin.
Dalam ucapannya, Puan Hajah Afifah menekankan bahawa penganugerahan APC adalah simbol penghargaan kerajaan terhadap dedikasi dan prestasi cemerlang penjawat awam.
“Pelbagai kejayaan telah ditempa oleh KEDA sepanjang tahun lalu hasil kerja keras dan komitmen semua pihak dalam memartabatkan nama agensi ini. Walaupun anugerah bukanlah matlamat utama, keinginan untuk menjadi yang terbaik sentiasa terpahat dalam jiwa setiap warga KEDA,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penjawat awam merupakan benteng utama dalam memastikan perkhidmatan awam berfungsi dengan cekap dan berkesan dalam menjayakan agenda transformasi negara.
“Setiap warga KEDA perlu berkongsi visi yang sama dan saling membantu dalam merealisasikan matlamat ini.
“Dalam menghadapi cabaran mendatang, kita harus bersedia dengan minda terbuka dan menerima perubahan demi kemajuan yang lebih baik,” tambahnya.
Beliau berharap pengiktirafan ini menjadi motivasi kepada semua penerima untuk terus mengekalkan kecemerlangan, selain menjadi contoh kepada rakan sejawat dalam membudayakan perkhidmatan terbaik di KEDA.
——————————-

——————————