DESA KEDA KOTA AUR PENUTUP SIRI IFTAR KEDA DAERAH SIK
SIK – Majlis Iftar Ramadan di Desa KEDA Kota Aur kelmarin menjadi penutup kepada Siri Iftar Desa KEDA Daerah Sik, menjadikannya majlis keenam dan terakhir dalam siri program berbuka puasa anjuran Pejabat KEDA Zon 4 Sik.
Seperti tradisi, program dimulakan dengan Ziarah Kasih yang melibatkan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada penduduk Desa KEDA yang uzur dan terlantar sakit.
Sumbangan ini telah disempurnakan oleh kepimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) serta Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P), sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan komuniti setempat.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan tahlil ringkas, sebelum para hadirin bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana penuh ukhuwah dan kebersamaan.
Pejabat KEDA Zon 4 Sik merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa 4P serta penduduk kampung yang telah bekerjasama menjayakan program ini.
Penganjuran majlis berbuka puasa di enam Desa KEDA di daerah ini sepanjang Ramadan bukan sahaja mengeratkan hubungan antara masyarakat, tetapi juga memperkukuhkan nilai kemasyarakatan dan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk.