BANTUAN EKONOMI KEDA SELARAS FOKUS UTAMA KKDW BAGI TAHUN 2025
BEDONG – Tugas dan tanggungjawab Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk membantu meningkatkan tahap ekonomi kumpulan sasar sentiasa menjadi keutamaan dan diteruskan dalam tahun ini.
Langkah ini seiring dengan hasrat YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang mahu menjadikan pembangunan ekonomi sebagai salah satu fokus utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi tahun 2025 ini disamping pembangunan modal insan, keusahawanan dan reformasi birokrasi.
Segala bentuk bantuan ekonomi yang disediakan oleh KEDA bukan sahaja untuk individu miskin tegar dan miskin yang berkelayakan, malah turut dibantu adalah institusi desa agar mampu menjana pendapatan bagi melaksanakan aktiviti yang bermanfaat kepada komuniti, serta mampu berdikari dalam jangka masa panjang.
Perkara ini dinyatakan oleh YBhg. Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom, Pengerusi KEDA, semasa hadir menyempurnakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat parlimen Jerai yang diadakan di Taman Sejahtera Rakyat Sungai Toh Pawang, di sini.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengerusi KEDA, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman, Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengerusi KEDA Properties and Management Sdn Bhd, YBhg. Dato’ Shaiful Hazizy bin Zainol Abidin, Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 7 Kuala Muda/Yan, Encik Khairul bin Ahmad.
YBhg. Dato’ Seri Jamil Khir dengan diiringi dif-dif kehormat berkesempatan menyampaikan simbolik penyerahan bantuan projek ekonomi KEDA iaitu Projek Baik Pulih Pembangunan Infrastruktur Pelancongan Desa, Program Pemerkasaan Generasi Pewaris dan Program Pemantapan Pengurusan Organisasi Luar Bandar kepada penerima yang berjaya.
Beliau turut sudi menyantuni mereka yang kurang berkemampuan dengan menyampaikan sendiri sumbangan bakul makanan dengan harapan sumbangan ini sedikit sebanyak mampu meringankan beban mereka.
Terima kasih kepada semua yang hadir menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat parlimen Jerai.
Semoga Ramadan kali ini dapat membawa erti ketakwaan dan berkat dalam menjadikan kita hamba kepada Allah Yang Maha Esa.