MAJLIS IFTAR KEDA MADANI 2025 PERKUKUH UKHUWAH DAN KEPRIHATINAN SESAMA KOMUNITI

MAJLIS IFTAR KEDA MADANI 2025 PERKUKUH UKHUWAH DAN KEPRIHATINAN SESAMA KOMUNITI

LANGKAWI – Pejabat KEDA Zon 1, Langkawi dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia Daerah Langkawi telah menganjurkan Majlis Iftar KEDA Madani 2025 di Desa KEDA Wang Tok Rendong, bertujuan memperkukuh silaturahim serta menyantuni golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
Majlis dimulakan dengan program penyerahan bakul makanan dari rumah ke rumah kepada 10 orang penerima asnaf yang uzur dan sakit terlantar.
Sumbangan ini disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Zon 1, Langkawi, Encik Othman bin Hashim, bersama Penolong Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Daerah Langkawi, Encik Normaizi bin Untong.
Bakul makanan ini adalah hasil sumbangan bersama pihak Akademi Kenegaraan Malaysia dan Pejabat KEDA Zon 1 Langkawi, sebagai usaha menyantuni masyarakat yang kurang berkemampuan.
Seterusnya, majlis diteruskan dengan sesi penerangan mengenai program dan inisiatif yang dijalankan oleh Akademi Kenegaraan Malaysia dalam memperkasakan ilmu kenegaraan serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selepas berbuka puasa secara berjemaah, majlis diserikan lagi dengan sesi penyerahan bakul makanan kepada ibu bapa tunggal dan orang kurang upaya (OKU), menjadikan jumlah keseluruhan penerima sumbangan sebanyak 50 orang.
Seramai 150 orang menghadiri majlis ini, termasuk kakitangan Pejabat KEDA Zon 1 Langkawi, Akademi Kenegaraan Malaysia Daerah Langkawi, serta warga Desa KEDA Wang Tok Rendong.
Pejabat KEDA Zon 1 Langkawi merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa 4P Desa KEDA Wang Tok Rendong dan Jawatankuasa Masjid As-Sofiah atas kerjasama erat dalam memastikan kelancaran majlis ini.
Semoga inisiatif ini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha memperkukuh perpaduan dan kebajikan dalam komuniti.