PUSPANITA KEDA SERTAI PENYEDIAAN ONDE-ONDE TERBANYAK RAMFEST, KKDW, CATAT MALAYSIA BOOK OF RECORDS

PUSPANITA KEDA SERTAI PENYEDIAAN ONDE-ONDE TERBANYAK RAMFEST, KKDW, CATAT MALAYSIA BOOK OF RECORDS

ALOR SETAR – Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) cawangan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menyertai program penyediaan onde-onde terbanyak sempena RAMFEST, yang berlangsung di Kompleks Ibu Pejabat KEDA, hari ini.
Program ini dianjurkan oleh PUSPANITA Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Putrajaya dengan penglibatan 10 agensi di bawah KKDW.
Program julung kali ini bertujuan mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records, dengan sasaran penyediaan 20,000 biji onde-onde secara keseluruhan.
PUSPANITA KEDA berjaya menyumbang sebanyak 3,100 biji onde-onde, hasil kerjasama 60 ahli jawatankuasa dan ahli PUSPANITA KEDA, yang berganding bahu dalam memastikan kejayaan acara ini.
Menariknya, program ini turut disiarkan secara serentak dari 10 agensi KKDW di seluruh negara, membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan acara secara langsung.
Keunikan ini bukan sahaja meningkatkan keterlibatan peserta tetapi juga membuktikan semangat kesepaduan antara agensi dalam menjayakan acara berskala besar.
Turut hadir bagi menyokong dan memeriahkan program ini ialah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar, yang juga merupakan Pengerusi PUSPANITA KEDA.
Penyertaan PUSPANITA KEDA dalam program ini bukan sahaja menyokong usaha mencipta rekod kebangsaan, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara agensi di bawah KKDW melalui aktiviti berasaskan warisan kulinari tempatan.
Program ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk mempromosikan makanan tradisional Melayu kepada generasi baharu, di samping memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan ahli.
Dengan pencapaian ini, PUSPANITA KEDA terus komited dalam menyokong aktiviti yang bukan sahaja memberi impak kepada komuniti, tetapi juga mengharumkan nama organisasi di peringkat nasional.