USAHAWAN KECIL WANITA LUAR BANDAR MAMPU JANA EKONOMI SETEMPAT

USAHAWAN KECIL WANITA LUAR BANDAR MAMPU JANA EKONOMI SETEMPAT

BANDAR BAHARU – Peranan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam membantu dan memperkasakan usahawan industri kecil dan sederhana dalam kawasan luar bandar amat dihargai oleh banyak pihak terutama mereka yang menerima manfaat secara langsung.
Telah ramai usahawan berjaya yang dapat dicungkil potensi mereka oleh KEDA di peringkat awal dan terus dikembangkan sehingga mampu menjana pendapatan yang lumayan.
Peranan KEDA dalam memperkasakan usahawan ini seharusnya dapat diperluaskan kepada golongan usahawan wanita yang masih berada di peringkat kecil agar mereka juga berpeluang mengembangkan perniagaan mereka ke tahap lebih baik dan mampu menjana ekonomi setempat.
Saranan berkenaan diberikan oleh Puan Nor Azila binti Abd Rashid, Pengerusi Penasihat Kolej Komuniti Bandar Baharu semasa menyampaikan ucapan dalam Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat DUN Bandar Baharu yang berlangsung di Desa KEDA Sungai Kecil Ilir.
Menurut beliau lagi, wanita diibaratkan sebagai tulang belakang sesebuah keluarga. Maka peranan usahawan kecil wanita untuk berniaga atau menjalankan perusahaan kecil, perlu disokong dan dibantu oleh KEDA atau mana-mana agensi, agar mereka mampu menjana pendapatan tambahan kepada isi rumah.
Malah dengan bantuan yang diberi, mungkin usahawan wanita ini mampu menjana ekonomi setempat dengan melibatkan kumpulan wanita dalam komuniti berkenaan.
Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 di Desa KEDA Sungai Kecil Ilir itu dihadiri kira-kira 270 orang penduduk tempatan terdiri pelbagai golongan masyarakat. Turut hadir adalah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) KEDA, Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar, Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani bin Romeli dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 9, Bandar Baharu, Encik Muhammad Noorhisham bin Taib.
Dalam majlis itu juga diadakan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada 30 orang penerima terpilih daripada warga emas dan mereka yang memerlukan, telah disampaikan oleh Puan Nor Azila sendiri bersama Encik Khairul Azmeer.
Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 di Desa KEDA Sungai Kecil Ilir.