BELIA DESA KEDA ZON UTARA DIBERI TAKLIMAT PENUBUHAN KELAB BELIA
ALOR SETAR – Belia Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon Utara telah diberi pendedahan mengenai penubuhan dan peranan pertubuhan belia dalam satu sesi taklimat yang diadakan di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar, hari ini.
Program anjuran Bahagian Pembangunan Komuniti dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah ini bertujuan menggalakkan belia untuk bergiat aktif dalam pertubuhan belia serta memainkan peranan positif dalam pembangunan masyarakat.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengurus Besar KEDA, YBhg. Puan Hajah Afifah binti Haji Omar.
Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, Puan Nor Azma binti Deris, Pengurus Bahagian Pembangunan Komuniti KEDA, Encik Mohd Azam bin Omar serta Penolong Pendaftaran Kanan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia Wilayah Zon Utara, Puan Noor’ Aziah binti Ali@Ahmad.
Dalam ucapannya, Puan Hajah Afifah menjelaskan mengenai peranan dan operasi KEDA dalam membantu masyarakat luar bandar.
Beliau turut menekankan kepentingan belia untuk berdikari dan mencari inisiatif sendiri tanpa terlalu bergantung kepada bantuan KEDA.
“KEDA amat menggalakkan belia Desa KEDA untuk menyertai pertubuhan belia bagi memupuk semangat tanggungjawab, patriotisme dan kesukarelawanan dalam kalangan mereka,” katanya.
Beliau berharap sesi taklimat ini menjadi langkah awal bagi belia Desa KEDA untuk bergerak aktif dalam pertubuhan belia dan melahirkan generasi belia yang lebih cemerlang serta berdaya saing.