SAMBUTAN MERIAH SIRI AKHIR IFTAR KEDA MADANI 2025
KUALA MUDA – Seramai lebih 300 orang terdiri golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak hadir menjayakan Majlis Iftar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Madani Tahun 2025 peringkat parlimen Sungai Petani yang diadakan di Desa KEDA Tepi Sungai di sini.
Cuaca yang baik bagai mengiringi kemeriahan majlis yang diserikan dengan kehadiran YBhg. Dato’ Hajah Shahanim binti Mohamad Yusoff, Pengerusi Penasihat GiatMara Sungai Petani.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Pengurus Besar KEDA, YBhg. Hajah Afifah binti Haji Omar, Pengurus Pembangunan Komuniti, Encik Mohd Azam bin Omar, Pengurus Pembangunan Usahawan, Encik Rojani bin Romeli dan Pegawai Pembangunan KEDA Zon 7, Kuala Muda/Yan, Encik Mohd Khairul bin Ahmad.
YBhg. Dato’ Shahanim dalam ucapannya sempat mengucapkan tahniah kepada Hajah Afifah yang telah dilantik sebagai Pengurus Besar KEDA dan merupakan pengurus besar wanita yang pertama. Beliau turut memohon agar KEDA meneruskan tanggungjawab membangunkan kawasan luar bandar terutamanya dalam parlimen Sungai Petani kerana masih ramai golongan miskin yang memerlukan perhatian kerajaan.
Beliau juga turut sudi menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 30 orang penerima terpilih daripada penduduk Desa KEDA Tepi Sungai.
Rata-rata penduduk yang hadir dalam majlis mengucapkan terima kasih kepada KEDA yang meneruskan tradisi majlis iftar di Desa KEDA dan berharap aktiviti ini akan terus diadakan di masa hadapan.
Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Iftar KEDA Madani Tahun 2025 peringkat parlimen Sungai Petani di Desa KEDA Tepi Sungai Kuala Muda.