LAWATAN PENGAUDITAN OLEH JABATAN AUDIT NEGARA BERSAMA KDW DAN KEDA DI DAERAH BALING, KEDAH

LAWATAN PENGAUDITAN OLEH JABATAN AUDIT NEGARA BERSAMA KDW DAN KEDA DI DAERAH BALING, KEDAH

BALING – Satu lawatan pengauditan telah dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) pada Rabu baru-baru ini.
Lawatan ini bertujuan untuk mengaudit pelaksanaan Projek Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) Bencana Banjir di Iboi, Baling, yang merupakan sebahagian daripada Projek Bencana di Negeri Kedah.
Sesi lawatan ini turut melibatkan penyertaan beberapa pegawai daripada pelbagai jabatan dan bahagian, antara wakil yang hadir ialah dari Jabatan Audit Negara iaitu Timbalan Pengarah Audit Negara, YBhg. Datin Hasnira binti Husin dan Penolong Juruaudit, Encik Openg bin Manis.
Seterusnya, Bahagian Kesejahteraan Rakyat (KR), KKDW oleh Encik Mohamad Noor Firdaus bin Sahul Hameed dan Cik Izziantee binti Izzahan.
KEDA pula dihadiri oleh Ketua Unit Audit Dalam KEDA, Encik Mohd Hafizuddin bin Mohd Asri dan Bahagian Pembangunan Komuniti (BPK), KEDA iaitu Penolong Pengurus, Encik Mohamad Nasri bin Ahmad Shukri dan Bahagian Hartanah dan Prasarana, KEDA, dihadiri oleh Jurutera Awam, Encik Muhammad Faiz Helmi bin Shukri.
Pejabat KEDA Zon 5 Baling mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian pihak Jabatan Audit Negara, KKDW, dan KEDA untuk melaksanakan lawatan ini. Kerjasama yang diberikan oleh semua pihak diharapkan dapat membantu memastikan pelaksanaan projek ini berjalan lancar dan mematuhi semua standard yang ditetapkan.
Lawatan ini menandakan komitmen KEDA dan KKDW dalam memastikan projek-projek pembangunan luar bandar, khususnya projek berkaitan kesejahteraan rakyat, dilaksanakan dengan telus dan efisien demi manfaat komuniti setempat.
SKUAD IHSAN MADANI KEDA SEMANGAT BANTU RAKAN TERKESAN BANJIR

SKUAD IHSAN MADANI KEDA SEMANGAT BANTU RAKAN TERKESAN BANJIR

ALOR SETAR – Skuad Ihsan Madani KEDA menunjukkan semangat tinggi dan kerjasama dalam membantu rakan sekerja yang terkesan akibat bencana banjir di Suka Menanti, baru-baru ini.
Mangsa banjir, Muhamad Mushrif bin Mukhtar, yang bertugas di Bahagian Niagatani, meluahkan rasa terima kasih kepada semua anggota Skuad Ihsan Madani KEDA yang sudi membantu membersihkan rumahnya.
Rumah yang diduduki bersama kedua ibu bapanya itu terletak berhadapan dengan Sungai Anak Bukit, menyebabkan kediamannya terjejas teruk dalam kejadian banjir tersebut.
“Banyak peralatan rumah rosak teruk dan lumpur tebal memenuhi ruang dalam rumah. Kehadiran Skuad Ihsan Madani KEDA ini benar-benar membantu meringankan beban saya dan keluarga dalam membersihkan rumah,” kata Muhamad Mushrif.
Tambahnya lagi, peralatan pembersihan yang dibawa oleh skuad tersebut turut memudahkan kerja-kerja pembersihan.
Skuad Ihsan Madani KEDA yang terdiri daripada 11 kakitangan KEDA menunjukkan komitmen tinggi dan semangat kerjasama yang luar biasa dalam menjalankan tugas pembersihan di rumah mangsa banjir.
Kecekapan dan kesungguhan mereka jelas kelihatan dalam setiap langkah yang diambil untuk membantu rakan mereka yang terkesan.
SKUAD IHSAN MADANI KEDA JADI BARISAN HADAPAN EDAR BANTUAN MAKANAN SEKITAR SUKA MENANTI

SKUAD IHSAN MADANI KEDA JADI BARISAN HADAPAN EDAR BANTUAN MAKANAN SEKITAR SUKA MENANTI

ALOR SETAR – Seramai dua anggota Skuad Ihsan Madani Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menjadi antara barisan hadapan dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir di daerah sekitar Kota Setar dan Kubang Pasu.
Terkini, Encik Afnizan Azwan bin Azizan dan Encik Mohammad Hafiz Azim bin Saad dari Unit Logistik telah bersama-sama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Yayasan Foodbank Malaysia telah ke kawasan terjejas sekitar Suka Menanti, di sini bagi menghantar bantuan makanan kepada mangsa dan keluarga.
Kebersamaan antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini mencerminkan semangat kebersamaan demi meringankan beban masyarakat di negeri Kedah.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha bersepadu pelbagai pihak untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mangsa banjir terus terpelihara.
HARI KEEMPAT: SKUAD IHSAN MADANI BANTU MANGSA BANJIR PULANG KE RUMAH

HARI KEEMPAT: SKUAD IHSAN MADANI BANTU MANGSA BANJIR PULANG KE RUMAH

ALOR SETAR – Skuad Ihsan Madani Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) terus berganding bahu bersama barisan hadapan dalam usaha membantu mangsa banjir di Negeri Kedah.
Pada hari keempat operasi, Skuad Ihsan MADANI KEDA telah bergerak dari Kompleks Ibu Pejabat KEDA dan bekerjasama dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu proses pemindahan mangsa banjir dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dato Kumbar ke Taman Uda.
Selain itu, pasukan turut membawa ubat-ubatan dan jururawat ke Sekolah Kebangsaan Gunong, di sini.
Antara staf yang terlibat Encik Thanashilan a/ Mhogawan dan Encik Mohd Reza Azril bin Rahmat dari Bahagian Pembangunan Usahawan serta Encik Afnizan Azwan bin Azizan dan Encik Mohammad Hafiz Azim bin Saad dari Unit Logistik.
SKUAD IHSAN MADANI KEDA TURUN PADANG BANTU STAF TERKESAN BANJIR SIRI KEDUA

SKUAD IHSAN MADANI KEDA TURUN PADANG BANTU STAF TERKESAN BANJIR SIRI KEDUA

ALOR SETAR – Seramai 10 orang staf Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah turun padang bagi membantu salah seorang mangsa banjir yang juga merupakan staf KEDA iaitu Encik Khairul Syaifulnizam bin Khairul Anuar dari Unit Logistik.
Skuad Ihsan MADANI KEDA telah tiba seawal jam 9.15 pagi di rumah mangsa yang terletak di Taman Tabung Haji, Jitra dengan membawa peralatan untuk membersihkan kawasan.
Menurut mangsa, beliau bersama isteri dan dua orang anak menyedari rumah dinaiki air pada jam 3.00 pagi hari Jumaat.
Setelah itu, mereka sekeluarga termasuk penduduk taman itu bergegas mencari tempat perlindungan.
Setelah tiba, ahli skuad bertindak membersihkan kawasan ruang tamu dan bilik rumah mangsa termasuk membuang perkakas yang musnah akibat banjir ini.
Terima kasih Skuad Ihsan Madani KEDA atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan. Kepada Encik Khairul Syaifulnizam sekeluarga, semoga tabah menghadapi dugaan.
LAWATAN PROGRAM EKSPEDISI PEMBELAJARAN KEJAYAAN EKONOMI DESA (X-PED) KLUSTER PERTANIAN

LAWATAN PROGRAM EKSPEDISI PEMBELAJARAN KEJAYAAN EKONOMI DESA (X-PED) KLUSTER PERTANIAN

SELANGOR – Dua peserta projek tanaman serai dari Baling iaitu Encik Mohd Hassan bin Aziz dan Encik Nor Hazli bin Mohd Nor, telah terpilih mewakili Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dalam Lawatan Program Ekspedisi Pembelajaran Kejayaan Ekonomi Desa (X-PED) Kluster Pertanian anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berlangsung di Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPK KL) baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama dua hari itu melibatkan 22 peserta daripada 11 kampung terpilih, bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti luar bandar mengenai teknologi dan amalan terbaik dalam bidang pertanian.
Melalui lawatan ini, para peserta berpeluang mempelajari teknik-teknik pertanian moden yang berpotensi meningkatkan produktiviti dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
X-PED merupakan salah satu daripada 62 program dan inisiatif KKDW yang dirancang khusus untuk membantu komuniti luar bandar memperkasakan ekonomi melalui sektor pertanian.
Program ini juga menjadi platform untuk menghubungkan peserta dengan pihak-pihak berkepentingan dalam bidang agrikultur.
Majlis penutupan program turut disertai dengan penyampaian sijil dan cenderahati kepada semua peserta, menandakan penghargaan atas komitmen mereka sepanjang program berlangsung.
Program seperti X-PED ini amat penting untuk memberi motivasi dan pengetahuan kepada komuniti luar bandar supaya lebih berdikari serta mampu bersaing dalam sektor pertanian yang semakin mencabar.
Dengan pendedahan seperti ini, diharapkan para peserta dapat menerapkan pengetahuan baharu dalam projek mereka dan menyumbang kepada kejayaan ekonomi desa.

PROGRAM SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK DESA KEDA SADEK KUPANG BALING

BALING – Pejabat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Zon 5, Baling dengan kerjasama Jawatankuasa 4P Desa KEDA Sadek dan Tabika Kemas Desa KEDA Sadek telah menganjurkan Program Sambutan Hari Kanak-Kanak yang berlangsung di perkarangan Tabika Kemas Desa KEDA Sadek.
Program ini bertujuan untuk menghargai kanak-kanak sebagai penyambung generasi bangsa dan negara, selain memupuk budaya sihat serta membimbing mereka ke arah pembentukan sahsiah yang positif.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan bagi mengisi program ini, termasuk pertandingan mewarna Kanak-Kanak Tabika Kemas, isi air dalam botol, cari gula-gula dalam tepung, dan permainan sukaneka seperti “Semakin Jauh Semakin Sayang”.
Aktiviti indoor dan outdoor yang disusun berjaya menarik perhatian kanak-kanak serta memberikan suasana ceria sepanjang program.
Program dimulakan dengan taklimat ringkas sebelum diteruskan dengan permainan sukaneka dan kemuncak acara ialah majlis penghargaan dan penyampaian hadiah, yang disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan KEDA Zon 5 Baling, Encik Mohamad Yusran Azali bin Mohamad Fadzil dan Pengerusi Jawatankuasa 4P Desa KEDA Sadek.
Program ini telah meninggalkan kenangan manis buat semua peserta, terutamanya kanak-kanak, selain mengeratkan hubungan komuniti Desa KEDA Sadek.
PENDUDUK DESA KEDA BATU 8 TIMBA ILMU PENGURUSAN JENAZAH

PENDUDUK DESA KEDA BATU 8 TIMBA ILMU PENGURUSAN JENAZAH

BALING – Seramai 49 wanita daripada kalangan penduduk Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) Batu 8 mengambil peluang mempelajari ilmu pengurusan jenazah menerusi Kursus Pengurusan Jenazah yang dianjurkan baru-baru ini.
Program ini merupakan inisiatif bersama Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Batu 8 dengan bimbingan Ustazah Norhiyah binti Mohamad Isa.
Kursus yang diadakan di Desa KEDA Batu 8 ini bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam masyarakat Islam.
Selain itu, program ini turut membuka ruang kepada peserta untuk mendalami aspek keinsafan dan tanggungjawab dalam menguruskan jenazah secara sempurna.
Menurut penganjur, program seperti ini memberi impak positif kepada komuniti dengan menanamkan nilai-nilai murni serta memperkasakan ilmu agama dalam kalangan penduduk desa.
“Alhamdulillah, melalui majlis ilmu ini, para peserta dapat menambah kefahaman mereka terhadap kepentingan pengurusan jenazah, yang bukan sahaja sebahagian daripada tanggungjawab sebagai Muslim, tetapi juga untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam masyarakat,” kata salah seorang peserta.
Program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan dan diharapkan menjadi permulaan kepada lebih banyak inisiatif keagamaan yang dapat memanfaatkan penduduk Desa KEDA Batu 8 pada masa akan datang.
HARI KETIGA : KEDA TERUS PERGIAT BANTU URUS MANGSA BANJIR DI KEDAH

HARI KETIGA : KEDA TERUS PERGIAT BANTU URUS MANGSA BANJIR DI KEDAH

ALOR SETAR – Teruskan KEDA! Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) masih bersama pasukan barisan hadapan dalam memberikan komitmen dalam membantu pengurusan banjir di Kedah.
Untuk hari yang ketiga, KEDA telah menyelaras satu unit lori dan satu unit kenderaan pacuan 4 roda bagi mengangkut barangan keperluan mangsa.
Semoga semua mangsa banjir tabah menghadapi dugaan dan semoga kehadiran KEDA dapat membantu mengurangkan beban pengurusan mangsa banjir di negeri Kedah tercinta ini.

LAWATAN PENGURUS BESAR KEDA KE PROJEK K-HOME DI DESA KEDA BENDANG PERANG

Pokok Sena, Kedah – Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), YBhg. Tuan Ismasuhaimi bin Shariff, telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Perumahan K-Home yang sedang dilaksanakan di Desa KEDA Bendang Perang, Mukim Jabi, baru-baru ini.
Lawatan ini bertujuan meninjau perkembangan status projek yang melibatkan pembinaan dan penyiapan enam unit rumah K-Home beserta kerja berkaitan. Projek ini yang menelan kos RM75,000 bagi setiap unit kini telah mencapai 90 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya pada hujung Disember 2024.
Projek K-Home di Desa KEDA Bendang Perang ini merupakan salah satu inisiatif KEDA untuk menyediakan kemudahan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada komuniti setempat, selaras dengan matlamat pembangunan luar bandar.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Encik Khairul Azmeer bin Abu Bakar; Pengurus Hartanah dan Prasarana, Encik Mohd Elias bin Hassan.
Lawatan ini menekankan komitmen KEDA dalam memastikan projek perumahan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan demi kesejahteraan masyarakat luar bandar.