PENDUDUK LEGA DAN SAMBUT BAIK PROJEK SPIKE
ALOR SETAR – Penduduk Desa KEDA Seberang Paya Kerchut meluahkan perasaan lega dan menyambut baik Projek Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) selepas majlis peluncuran projek itu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Seberang Paya Kerchut, Mohd Desa bin Che Abu berkata penduduk kampung lega dengan pelaksanaan projek ini kerana tidak perlu lagi melakukan pelupusan sampah secara tradisional sebelum ini.
“Dengan ada SPIKE selepas ini pelupusan sampah menjadi mudah dan sistematik.
“Penduduk tidak perlu lagi menanam dan membakar sampah di kawasan rumah masing-masing selepas ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Peluncuran Pengurusan Sisa Pepejal di Wilayah KEDA (SPIKE) hari ini.
Sementara itu, Ramli bin Che Pa, 70, SPIKE memberi kemudahan kepada penduduk kerana tidak perlu lagi membuang sampah di Pekan Bukit Pinang.
Menurutnya, tempat pembuangan sampah di Pekan Bukit Pinang itu jauh kira-kira 5 kilometer.
“Selepas ini kami tidak perlu lagi mengangkut sampah sejauh itu. Kami penduduk akan memanfaatkan kemudahan ini sebaiknya,” katanya.